Fundamental, harga penentu nilai sebenar IPO

Fundamental, harga penentu nilai sebenar IPO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELABUR perlu menilai fundamental syarikat, harga tawaran serta sentimen pasaran sebelum menyertai tawaran awam permulaan (IPO) bagi memastikan keputusan pelaburan dibuat berdasarkan potensi sebenar perniagaan dan bukannya sekadar mengejar keuntungan jangka pendek.

PEDAGANG Profesional dan Perancang Kewangan Berlesen, Adli Ishak.

Pedagang Profesional dan Perancang Kewangan Berlesen, Adli Ishak berkata, penilaian menyeluruh itu penting memandangkan fenomena lebihan langganan IPO atau oversubscription yang tinggi tidak semestinya mencerminkan kekuatan sesebuah syarikat, sebaliknya turut dipengaruhi permintaan pasaran, sentimen pelabur dan jangkaan keuntungan pada hari pertama penyenaraian.

Katanya, terdapat tiga pertimbangan utama sebelum melanggan IPO, iaitu fundamental syarikat, penilaian harga dan sentimen pasaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pelabur perlu meneliti sama ada syarikat mempunyai model perniagaan yang kukuh, mampu mencatatkan keuntungan secara konsisten serta mempunyai prospek pertumbuhan yang meyakinkan.

“Selain itu, harga IPO yang ditawarkan juga perlu dinilai kerana syarikat berkualiti tidak semestinya menjadi pelaburan yang menguntungkan sekiranya saham dibeli pada harga terlalu tinggi.Penilaian seperti nisbah harga kepada pendapatan (P/E Ratio) penting untuk dibandingkan dengan syarikat lain dalam industri sama bagi menentukan sama ada harga IPO itu munasabah.

“Pada akhirnya, saya bukan sekadar mahu tahu sama ada syarikat itu bagus atau tidak, tetapi sama ada harga yang ditawarkan berbaloi dengan risiko dan potensi pulangannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas kecenderungan pelabur menyertai IPO sama ada untuk keuntungan segera atau pelaburan jangka panjang, beliau berkata, kedua-duanya merupakan strategi berbeza yang mempunyai kelebihan dan risiko tersendiri.

Katanya, pelabur yang mengejar keuntungan jangka pendek lazimnya memberi perhatian kepada potensi kenaikan harga saham pada hari pertama penyenaraian atau listing gain.

Sebaliknya, pelabur jangka panjang lebih menumpukan keupayaan syarikat mengembangkan perniagaan dan mencipta nilai kepada pemegang saham dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

“Jika tujuan saya mendapatkan listing gain, saya akan lebih menitikberatkan penilaian IPO, permintaan pelabur dan sentimen pasaran.

“Namun, jika untuk pelaburan jangka panjang, saya akan memberikan lebih perhatian kepada fundamental, pertumbuhan pendapatan dan kemampuan syarikat mencipta nilai kepada pemegang saham,” katanya.

Beliau yang berpengalaman selama 10 tahun itu berkata, pelabur juga perlu membuat kajian terperinci terhadap latar belakang syarikat, prestasi kewangan, model perniagaan dan potensi pertumbuhan sebelum membuat keputusan melanggan IPO.

“Antara aspek yang perlu diteliti ialah rekod prestasi kewangan syarikat bagi tempoh tiga hingga lima tahun, termasuk pertumbuhan hasil, margin keuntungan bersih, aliran tunai dan tahap hutang,” katanya.

Adli berkata, pelabur juga perlu mengenal pasti faktor yang mendorong peningkatan keuntungan bagi memastikan pertumbuhan tersebut mampan dan bukannya disebabkan keuntungan luar biasa yang bersifat sementara.

Selain itu, penggunaan dana yang diperoleh menerusi IPO perlu diberikan perhatian kerana ia menggambarkan perancangan dan hala tuju syarikat selepas disenaraikan.

“Pelabur perlu melihat sama ada dana itu digunakan untuk mengembangkan operasi, meningkatkan kapasiti pengeluaran, membiayai projek baharu atau membayar hutang sedia ada.

“Prospektus IPO merupakan dokumen penting yang perlu dibaca kerana mengandungi maklumat mengenai kedudukan kewangan, risiko perniagaan, pihak pengurusan dan perancangan syarikat,” katanya.

Mengulas fenomena lebihan langganan IPO, beliau berkata, kadar lebihan langganan yang tinggi hanya menunjukkan permintaan besar terhadap saham ditawarkan dan tidak boleh dijadikan ukuran tunggal bagi menentukan kualiti sesebuah syarikat.

Katanya, IPO yang menerima lebihan langganan sehingga 100 kali misalnya menunjukkan permintaan jauh melebihi jumlah saham diperuntukkan dalam kategori langganan berkenaan.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak semestinya bermaksud semua pelabur yakin terhadap prospek perniagaan syarikat untuk jangka panjang.

Sebahagian pelabur mungkin hanya mahu mengambil kesempatan daripada potensi kenaikan harga saham sebaik sahaja ia disenaraikan.

“Jumlah saham yang diperuntukkan kepada pelabur awam juga boleh mempengaruhi kadar lebihan langganan. Jika jumlah ditawarkan kecil, permintaan tinggi boleh menghasilkan kadar lebihan langganan yang sangat besar,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini