BN tadbir Melaka bersama PN

BN tadbir Melaka bersama PN

TUN Mohd. Ali Mohd. Rustam (tiga dari kiri) bersalaman dengan Ab. Rauf Yusoh (dua dari kanan) selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama Pejabat Yang di-Pertua Negeri, Ayer Keroh, semalam. Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (tengah).-BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AYER KEROH: Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sehingga meraih kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diteruskan dalam pentadbiran negeri.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Dr Ab. Rauf Yusoh berkata, perkara tersebut membuka ruang kepada PN untuk memainkan peranan dalam pentadbiran negeri termasuk kemungkinan melantik wakil gabungan itu sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Menurut beliau, kesepakatan BN dan PN bukan sahaja menjadi antara faktor kemenangan besar gabungan itu, malah membuktikan kerjasama politik mampu menyatukan sokongan pelbagai pihak. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Itu (lantikan wakil PN dalam Exco) bergantung kepada pertimbangan saya. Pastinya setiap kemenangan itu akan membuahkan hasil.

“Jadi hasilnya akan dituai bila buah pokoknya berbuah. Insya-Allah,” katanya pada sidang akhbar selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 bagi penggal kedua di Seri Negeri semalam. 

Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan hasrat supaya wakil PN turut diberikan tempat dalam barisan Exco kerajaan negeri sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan.

Keputusan PRN Melaka ke-16 menyaksikan kerjasama antara BN dan PN memperoleh majori­ti lebih dua pertiga selepas memenangi 24 daripada 28 kerusi.

Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala selebihnya Pakatan Harapan (PH).

BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN dan PN memperoleh tiga kerusi.

Mengulas lanjut, Ab. Rauf berkata, kerjasama dan muafakat antara BN dan PN itu berjaya memperkukuh lagi majoriti kemenangan kali ini.

“Ya juga. Salah satu daripada faktor-faktor menyumbang kemenangan besar kerana muafakat ini menunjukkan satu kesepakatan yang memberikan ruang kepada orang yang tidak berparti, sama ada Pas ataupun UMNO ataupun mana-mana parti politik yang bergabung untuk bersama-sama menyokong satu muafakat.

“Ini dijadikan satu kekuatan dan menunjukkan bahawa kalau kita bersepakat, kita berpadu, kita bersatu, hasilnya apa yang kita dapat lagi,” katanya.

Ketika ditanya tarikh pelantikan Exco, Ab. Rauf berkata, perkara itu akan dibuat dalam masa terdekat. 

“Bila saya lantik (Exco) esok saya akan panggil. Dia dekatnya tidak sejauh jaraknya tidak sedepa,” katanya. 

Mengulas lanjut mengenai kemungkinan kerjasama dengan parti lain, Ab. Rauf berkata, BN terbuka untuk mempertimbangkan sebarang bentuk kerjasama sekiranya membawa manfaat lebih besar kepada rakyat dan negeri.

Beliau berkata, setiap cadangan akan dinilai berdasarkan manfaat yang boleh diberikan berbanding mudarat yang mungkin timbul.

“Kalau kita mempunyai satu manfaat yang lebih baik daripada mudarat, kita boleh pertimbang dan kita boleh terima. Tidak ada masalah,” katanya.

Terdahulu, Ab. Rauf terus diberi mandat menerajui kerajaan negeri apabila mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Ke-13 bagi penggal kedua.

Ab. Rauf, 65, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Seri Negeri pada pukul 12.10 tengah hari, semalam.

Majlis angkat sumpah itu berlangsung susulan kejayaan gabungan BN dan PN membentuk kerajaan negeri kelebihan 24 daripada 28 kerusi DUN dan membolehkan mereka menguasai DUN dengan majoriti dua pertiga.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini