PETALING JAYA: Semua pertubuhan amal atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diwajibkan menyediakan laporan audit berkala sendiri dan bukannya disediakan oleh pihak ketiga seperti syarikat ahli badan berkenaan.
Penasihat Syariah Kewangan Islam, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman berkata, juruaudit agensi terbabit harus segera memaparkan laporan audit dan dedahkan kepada awam setelah selesai mengaudit.
“Juruaudit agensi tersebut harus papar kepada awam dengan segera setiap aliran wang yang disumbangkan oleh penderma melalui emel khas atau hebahan secara terbuka, tidak kisah jumlahnya sedikit atau banyak kerana orang perlu tahu.
“Lebih penting, hebahan itu bukannya daripada pihak ketiga agar mengelakkan rasa ketidakpercayaan kepada penderma,” katanya.
Dalam pada itu, Zaharuddin juga menyarankan kerajaan menggubal akta berkaitan sumbangan dana berikutan agensi bebas untuk mengutip dana dan tidak tertakluk pada mana undang-undang.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perlunya ketelusan dalam pengurusan sebarang dana kutipan derma di negara ini.
Beliau juga mencadangkan, setiap kutipan derma oleh mana-mana organisasi perlu mengikut peraturan bagi memastikan ia dapat disalurkan kepada golongan sasar yang memerlukan.
Terdahulu, media melaporkan badan amal Aman Palestin disabitkan dalam 164 pertuduhan membabitkan pembelian emas seberat 131 kilogram (kg) merupakan 19 pendakwaan yang dihadapi dua daripada tiga individu dalam pengurusannya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, pemberi sumbangan juga berhak untuk mengetahui dana dikongsi itu sampai kepada penerima.
Menurut beliau, dengan mewajibkan penyediaan laporan berkala, badan-badan amal itu lebih berintegriti dan meyakinkan masyarakat terus memberi sumbangan tanpa ragu-ragu.
“Bukannya susah untuk menyediakan laporan dalam zaman serba canggih ini, bahkan boleh bentangkan laporan berkala di media sosial atau secara dalam talian.
“Ke mana wang itu disalurkan, siapa yang menerimanya dan bantuan dalam bentuk apa perlu diberitahu kepada orang ramai supaya mereka lebih yakin bahawa sumbangan mereka sampai kepada tangan yang sebetulnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Menurutnya, kerajaan sepatutnya menyediakan satu sistem melibatkan bantuan kutipan dana yang dijalankan beberapa organisasi, sekali gus menjejaki aliran wang yang disumbangkan orang ramai.
Bagi Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, undang-undang sedia ada telah mencukupi namun penguatkuasaan dan penyiasatan oleh kedua-dua agensi berikut harus dilakukan untuk elak salah guna kuasa.
“Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) atau Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang seharusnya jalankan siasatan ke atas yayasan atau NGO yang mengumpul dana melebihi RM1 juta berikutan jumlahnya yang begitu besar dan terdapat sesuatu yang mencurigakan.
“Mereka perlu teliti dalam membuat penyiasatan khas ke atas agensi amal agar tak jadi salah guna kuasa atau terjadi tuduhan ‘cuci duit’,” katanya.
Menurut Jais, laporan audit yang diterima daripada yayasan itu harus diteliti dan harus jalankan siasatan seperti mana di Indonesia, walaupun kutipan hanya mencecah 1 Miliar Rupiah (RM30,612), tetap jalankan siasatan.
Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye pula menyarankan kerajaan mewujudkan satu talian membolehkan orang ramai menyemak sama ada badan amal tersebut berdaftar dan dipercayai. – UTUSAN










