KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah mengeluarkan lebih 5,000 notis kesalahan merokok di tempat awam dengan kompaun lebih RM1 juta melalui Ops Gomo Asap yang dilaksanakan sejak awal Januari 2023 lalu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, semua kesalahan itu dikesan melalui 1,547 operasi yang dilaksanakan di lapan daerah sepanjang tempoh tersebut.
Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 3,022 notis kesalahan dikeluarkan di tempat makan yang telah diwartakan sebagai tempat larangan merokok.
“Selain itu, sebanyak 1,805 notis pula dikeluarkan di sekitar kawasan Batu Buruk yang telah diwartakan sebagai kawasan TBAR (Terengganu Bebas Asap Rokok).
“Operasi ini dijalankan oleh 321 pengawai penguat kuasa JKNT di seluruh Terengganu termasuk di pejabat-pejabat kerajaan dan hentian rehat dan rawat (R&R) sepanjang Lebuhraya Pantai Timur,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Lebih mengecewakan, Dr. Kasemani berkata, masih ramai tidak mengendahkan larangan merokok meskipun terdapat banyak papan tanda mengenai penguatkuasaan peraturan tersebut.
“Penguatkuasaan bertujuan melindungi golongan majoriti bukan perokok daripada bahaya asap rokok pasif khususnya golongan tua, ibu mengandung, kanak-kanak dan bayi.
“JKNT tetap meneruskan operasi penguatkuasaan dan meningkatkan aktiviti kempen kesedaran mengenai bahayanya terhadap kesihatan,” katanya.
Tambahnya, semua kesalahan tersebut boleh ditawarkan kompaun dan individu yang gagal menjelaskan kompaun boleh didakwa di mahkamah dengan denda tidak melebihi RM 10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN










