PUTRAJAYA: Kegiatan penyeludupan dan penjualan rokok serta minuman keras yang disyaki barang tidak berkastam berjaya ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dengan anggaran nilai termasuk anggaran duti dan cukai terlibat berjumlah lebih RM25.7 juta dalam tempoh dua bulan lalu.
Menurut Penolong Ketua Pengarah Kastam Penguatkuasaan, Raizam Setapa @ Mustapha, menerusi Op Keras 1, sitaan membabitkan rokok dan minuman keras pelbagai jenama dengan anggaran jumalah keseluruhan nilai dan duti atau cukai sebanyak RM296,755.65.
Katanya, operasi melibatkan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Negeri Selangor bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan kerjasama Pasukan Petugas Khas Kementerian Kewangan (MOF) telah melaksanakan serbuan ke atas dua buah outlet melibatkan pemilik perniagaan warganegara asing di sekitar Jalan Imbi, Kuala Lumpur.
“Hasil pemeriksaan telah menemukan sebanyak 307,080 batang rokok pelbagai jenama dan 1,255.205 liter minuman keras pelbagai jenama yang disyaki barang tak berkastam dijual dan disimpan di outlet berkenaan.
“Jumlah nilai barang sitaan termasuk duti dan cukai bagi rokok adalah dianggarkan sebanyak RM254,627.12 manakala bagi minuman keras dianggarkan sebanyak RM42,128.53.
“Seorang individu telah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes ini masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Raizam berkata, menerusi Op Keras 2 membabitkan sitaan rokok dan minuman keras pelbagai jenama dengan anggaran jumlah keseluruhan nilai dan duti / cukai sebanyak RM62,587.90.
Katanya, serbuan dilaksanakan ke atas empat buah outlet serta sebuah lori di sekitar Jalan Kuchai Maju, Kuala Lumpur dan menemukan 14,880 batang rokok pelbagai jenama dan 798.385 liter minuman keras pelbagai jenama yang disyaki barang tak berkastam.
Ia dijual dan disimpan di outlet dan sebuah lori yang diparkir di belakang salah satu premis berkenaan dengan nilai barang sitaan termasuk duti dan cukai bagi rokok adalah dianggarkan sebanyak RM24,028.40 manakala bagi minuman keras dianggarkan sebanyak RM38,559.50.
“Seramai tiga individu telah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes es ini masih dalam siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, menerusi Op A.S.A.P II, sitaan membabitkan rokok dan minuman keras pelbagai jenama dengan anggaran jumlah keseluruhan nilai dan duti / cukai sebanyak RM25,408,084.95.
Katanya, sebanyak 26,316,754 batang rokok disita manakala bagi minuman keras adalah sebanyak 22,184.47 liter melibatkan jumlah keseluruhan nilai dan duti serta cukai bagi barang kes rokok dan minuman keras yang disita adalah dianggarkan sebanyak RM25,408,084.95.
“Hasil pelaksanaan operasi ini, sebanyak 445 kes melibatkan rokok dan minuman keras tak berkastam telah direkodkan di seluruh negara. Kesemua kes tersebut masih dalam siasatan.
“Modus operandi kegiatan ini adalah menyembunyikan barang kes di lokasi tersorok atau di dalam kenderaan yang di parkir diluar outlet perniagaan bagi mengelakkan dari dikesan oleh pihak berkuasa.
“Selain itu, penjualan rokok dan minuman keras dengan harga yang lebih rendah berbanding dengan harga di pasaran,” katanya. – UTUSAN











