TAWAU: Seramai 20 lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menyimpan dan mengangkut 3,004 kotak rokok larangan import pelbagai jenama di perairan selatan Pulau Sipadan, Semporna, bulan lalu.
18 daripada tertuduh berusia antara 21 hingga 62 tahun mengaku tidak bersalah sementara dua lagi tiada pengakuan direkodkan berikutan ketiadaan jurubahasa Burma dan Hindi.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum dan Dayang Aidaku Amira Aminuddin.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Suluk terhadap 13 warga Filipina mereka didakwa dengan niat bersama menyimpan 1,956 kotak rokok putih jenama Bosqu di atas sebuah bot kargo.
Sementara itu, tujuh lelaki terdiri daripada tiga warga Indonesia, dua warga India serta masing-masing seorang warga Malaysia dan Myanmar didakwa mengangkut 1,048 kotak rokok pelbagai jenama yang turut dilarang pengimportannya.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di kedudukan 6.9 dan tujuh batu nautika di selatan Pulau Sipadan, Semporna, kira-kira pukul 1.06 pagi, 23 Jun lalu.
Jika didapati bersalah, mereka boleh didenda maksimum 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 penjara atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap 13 tertuduh kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah sementara tujuh lagi dibenarkan ikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan dua penjamin tempatan.
Mereka turut diperintahkan melapor diri di pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dua kali sebulan serta menyerahkan pasport kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia. Mahkamah menetapkan 10 Ogos depan bagi sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya APMM Sabah dan Labuan, Nurun Nazifah Muhammad Iyen Atim manakala tujuh tertuduh diwakili peguam Darmin Achok.
Sebelum ini media melaporkan Maritim Malaysia mencatat rampasan terbesar apabila menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok di perairan selatan Pulau Sipadan, Semporna dengan nilai keseluruhan berjumlah RM65.75 juta. – UTUSAN










