Kenaikan 2 sen rokok tidak memberi kesan

Kenaikan 2 sen rokok tidak memberi kesan

- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kecewa de­ngan keputusan kerajaan hanya menaikkan duti eksais produk rokok sebanyak dua sen sebatang dalam Belanjawan 2026.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata, kadar bagi produk cerut, cheroot dan cigarillos yang meningkat sebanyak RM40 sekilogram, serta produk tembakau yang dipanaskan meningkat RM20 sekilogram juga dilihat terlalu rendah dan tidak mencukupi untuk mengurangkan tabiat merokok dalam kalangan rakyat.

“Langkah ini menunjukkan kerajaan masih belum mengambil tindakan tegas untuk melin­dungi kesihatan rakyat daripada bahaya merokok.

“Kenaikan kecil sebegini tidak akan memberi kesan besar terhadap perokok tegar atau menghalang generasi muda daripada mula merokok,” katanya di sini semalam.

Menurut Mohideen, secara keseluruhannya Belanjawan 2026 juga masih lemah dalam aspek kesihatan awam dan perlindungan alam sekitar.

“CAP turut kecewa dengan kenaikan kecil peruntukan kepada Kementerian Kesihatan, iaitu RM46.5 bilion bagi tahun 2026 yang hanya meningkat RM1.2 bilion berbanding tahun sebe­lumnya.

“Selain memperkukuh per­khid­matan kesihatan, kerajaan perlu menumpukan pelaburan yang lebih besar dalam langkah pencegahan dan promosi kesihatan bagi mengurangkan kos jangka panjang rawatan penyakit kronik serta isu kesihatan lain,” katanya.

Pertubuhan Tindakan Wa­nita Malaysia bagi Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH) pula menyifatkan kenaikan dua sen itu ibarat ‘melepaskan batuk di tangga’ dan kerajaan perlu berani bertindak untuk melindungi generasi muda daripada bahaya nikotin.

Presidennya, Roslizawati Md. Ali berkata, cukai rokok tidak pernah dinaikkan sejak 2015, walaupun kadar inflasi dan kos rawatan penyakit berkaitan tembakau semakin meningkat.

Katanya, kadar kenaikan cukai rokok sebanyak dua sen daripada 40 sen kepada 42 sen sebatang terlalu kecil, tidak akan memberi kesan ketara terhadap tabiat merokok terutama dalam kalangan remaja dan beban perubatan ditanggung kerajaan.

“Dalam advokasi terdahulu, MyWATCH menggesa cukai dinaik­kan sekurang-kurangnya 75 sen sebatang mengambil iktibar saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta menghormati perjanjian Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) yang dimeterai sejak 2005.

“Selepas hampir sedekad tanpa kenaikan cukai itu, langkah menaikkan sebanyak dua sen adalah terlalu kecil dan tidak akan mengubah tingkah laku pengguna. Dasar cukai tembakau seharusnya melin­dungi kesihatan rakyat dan bukan keuntungan industri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×