Insiden paip bocor tidak jejas proses pemulihan bekalan air  - Utusan Malaysia

Insiden paip bocor tidak jejas proses pemulihan bekalan air 

CHOW Kon Yeow (dua dari kanan) melihat pelan pembaikan kebocoran paip di Sungai Perai, Seberang Perai, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kerja-kerja pemasangan paip gantian sementara merentasi Sungai Perai, di Seberang Perai tidak akan menjejaskan proses pemulihan air seperti dijadualkan selagi kebocoran yang berlaku tidak melarat dan bertambah buruk.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, paip air itu juga hanya menyalurkan air ke kawasan Barat Daya serta tidak melibatkan kawasan Seberang Prai dan Timur Laut.

“Barat Daya merupakan kawasan yang mungkin terjejas.

”Tetapi dalam rancangan pemulihan ia tidak terjejas dan dipulihkan mengikut jadual, kita masih membenarkan penyaluran air tetapi kita menurunkan tekanan di kawasan ini (paip Sungai Perai) supaya ia tidak memburukkan keadaan di kawasan ini,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan satu lagi kebocoran telah dikesan di saluran paip bawah air di Sungai Perai.

Menurut PBAPP, kakitangan PBAPP sedang menyiasat punca dan lokasi kebocoran untuk memeriksa sama ada ia berada di bahagian yang sama yang telah dibaiki semalam.

Menurut Kon Yeow, proses pemulihan air di Barat Daya pada pukul 12 tengah hari tadi sudah mencapai 90 peratus dan masih ada beberapa kawasan yang sedang dipulihkan bekalan.

”Dalam tempoh ini Exco Jason Hng telah menggerakkan semua lori tangki baik dari PBAPP, SPAN, bomba sukarela dan lain-lain untuk memberi perkhidmatan di kawasan terbabit.

“Kita harap pemulihan ini akan mengikut jadual dan sehingga pukul 6 pagi esok kita boleh capai pemulihan yang penuh melainkan ada sedikit lokasi yang menghadapi masalah sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, kerja-kerja mobilisasi proses pemasangan paip gantian tersebut akan dijalankan bermula malam ini.

“Kerja-kerja tersebut melibatkan pembinaan struktur-struktur sementara supaya paip-paip berukuran 600mm dapat diletakkan di atas struktur ini yang terletak 10 meter dari jambatan Ampang Jajar, Seberang Perai.

“Kerja-kerja ini tidak akan menjejaskan jambatan Ampang Jajar, ‘by pass’ akan dibina di lokasi ini, dan apabila siap paip ini akan menggantikan sementara waktu paip yang sudah bocor di dasar Sungai Perai ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, pihaknya berharap kontraktor yang dilantik akan mula menggerakkan jentera-jentera dan peralatan paip yang diperlukan dan kerja-kerja akan dijalankan selama 24 jam.

”Kerja-kerja ini dijangka disiapkan dalam tempoh 21 hari dan kalau boleh dipercepatkan lebih baik, kita akan sampaikan maklumat terkini kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya