GEORGE TOWN: Kira-kira 9,000 pengguna di Lembah Permai dan Hillside kini boleh menarik nafas lega selepas Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berjaya menyiapkan empat projek kerja air mengikut jadual, sekali gus memastikan bekalan air dipulihkan sepenuhnya.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. K. Pathmanathan, berkata projek-projek itu terpaksa dilaksanakan semasa Gangguan Bekalan Air Berjadual (SWSI) yang bermula pukul 10 malam Khamis hingga 10 pagi semalam.
Namun, semua kerja berkaitan Loji Rawatan Air (LRA) Guillemard di Tanjung Bungah berjaya disiapkan pada pukul 5 pagi, lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan.
“Bekalan air dipulihkan secara berperingkat bermula pukul 5 pagi hingga 11 pagi kepada kira-kira 9,000 pengguna yang terjejas. Pada pukul 12.45 tengah hari, kakitangan PBAPP mengesahkan bekalan air kepada semua pengguna telah kembali normal sepenuhnya,” katanya di sini hari ini.
Empat projek berkenaan melibatkan penggantian dua injap rosak berdiameter 600 milimeter di Jalan Lembah Permai, pemasangan satu injap tambahan 600 mm berhampiran Vale of Tempe, serta pemasangan injap baharu di saluran paip Vale of Tempe bagi memperkukuh pengurusan air tidak berhasil (NRW). Keseluruhan projek menelan kos RM117,694.
Pathmanathan berkata, antara manfaat utama projek itu ialah bagi mengelakkan berulangnya insiden kerosakan kotak gear injap pada saluran paip 600 mm pada 18 Januari lalu yang menyebabkan kira-kira 2,200 pengguna terputus bekalan air selama hampir 19 jam.
“Selain itu, projek ini juga dapat memastikan perkhidmatan bekalan air yang lebih stabil melalui penambahbaikan kawalan tekanan air terawat serta memperkukuh pengurusan NRW di LRA Guillemard,” katanya.
LRA Guillemard yang mempunyai kapasiti 80 juta liter sehari merupakan loji rawatan air warisan yang telah membekalkan air kepada pengguna di kawasan tersebut sejak lebih 80 tahun lalu.
“Loji berkenaan menerima sumber air mentah daripada kawasan tadahan Batu Ferringhi serta Empangan Teluk Bahang dan turut membekalkan air kepada institusi pendidikan, hotel serta premis perniagaan di sekitar kawasan berkenaan,” katanya. – UTUSAN










