TASEK GELUGOR : Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberi jaminan bahawa tiada gangguan bekalan air akan berlaku sempena Hari Raya Aidilfitri nanti.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, buat masa ini, bekalan air adalah mencukupi dan mampu menampung kegunaan penduduk semasa musim perayaan.
Katanya, berdasarkan paras takungan semasa di tiga empangan utama di negeri ini, kapasiti air masih lagi berada pada tahap yang selesa.
“Setakat ini, kadar takungan air di Empangan Mengkuang mencatatkan paras 90 peratus dan empangan ini memiliki kapasiti terbesar dan strategik untuk simpanan air.
“Ia susulan bekalan air di empangan terbabit tidak diproses untuk rawatan harian, sebaliknya, hanya akan digunakan sekiranya negeri berdepan dengan krisis air.
“Tambahan pula, fasa peralihan monsun yang lazimnya membawa kepada hujan lebat telahpun bermula sekali gus dijangka dapat membantu memenuhkan semula paras air di kesemua empangan di negeri ini.
“Justeru, penduduk tidak perlu bimbang akan gangguan bekalan air kerana ia masih mencukupi melainkan berlakunya kejadian luar jangkaan seperti paip pecah dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Program Memasak Bubur Lambuk di Masjid Jamek Pokok Machang di sini, hari ini. Hadir sama, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memantau rapi paras air dan kapasiti di Empangan Air Itam dan melaksanakan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024) dengan mengurangkan pengekstrakan dari empangan terbabit.
“Kira-kira 10,000 akaun pengguna mendapat bekalan daripada Empangan Air Itam, namun ketika ini hanya separuh akaun pengguna memperoleh bekalan air dari empangan itu manakala 5,000 akaun lagi memperoleh bekalan air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua,” katanya.
Khamis lepas, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan empat empangan menunjukkan penurunan paras simpanan sumber air mentah pada paras kritikal, iaitu Empangan Sembrong Barat di Johor dengan paras 31.65 peratus, Empangan Air Itam (35 peratus) serta Empangan BS Padang Saga (39.67 peratus) dan Empangan Malut (39.90 peratus) di Kedah.-UTUSAN










