Genting Property, Huawei meterai kerjasama bangunkan kampus pintar di Johor - Utusan Malaysia

Genting Property, Huawei meterai kerjasama bangunkan kampus pintar di Johor

LIM Keong Hui (kanan) bersama Presiden Huawei Infrastructure Cloud Systems, Hu Zhendong dan Pengarah AIB Associates Architects Sdn Bhd, Tay Vi Mike ketika majlis menandatangani Kerjasama strategik di antara Genting Property dan Huawei Technologies (Malaysia) sempena acara Huawei bertemakan “Infrastruktur Berpacukan Awan–Ekosistem Digital Baharu” di Pusat Seni Antarabangsa Shenzhen Longgang, China, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Genting Property Sdn. Bhd. (Genting Property), bahagian hartanah Genting Plantations Berhad, memeterai kerjasama strategik dengan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. bagi merealisasikan pembangunan Bandar Pintar Teknologi Johor (JTSC).

Kerjasama menerusi Perjanjian Perancangan Induk itu menjadikan Genting Property rakan kongsi antarabangsa pertama Huawei dalam bidang kampus pintar, selain menandakan pelaksanaan pertama keupayaan perancangan induk berasaskan kecerdasan buatan (AI) Huawei di luar China.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Genting Plantations, Datuk Lim Keong Hui berkata, kerjasama itu merupakan langkah penting dalam menterjemahkan visi JTSC daripada peringkat konsep kepada pelaksanaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ujarnya, teknologi perlu menjadi pemacu kemajuan dengan sokongan bakat tempatan serta pelaburan berkualiti tinggi yang mampu menarik minat ekonomi progresif.

“Rakyat Malaysia berhak berada di barisan hadapan pertumbuhan ini di tanah air sendiri.

“Berteraskan kampus pintar seluas 430 ekar, JTSC akan menjadi destinasi unggul yang membuka peluang tempatan menerusi inovasi global, sekali gus membentuk masa depan progresif melalui perancangan strategik yang jelas dan berwawasan,” katanya.

Perjanjian berkenaan disaksikan Pengerusi Eksekutif Genting Berhad, Tan Sri Lim Kok Thay dan Ahli Eksekutif Lembaga Penyeliaan merangkap Ketua Pegawai Logistik Huawei, Ren Shulu yang diadakan sempena acara Huawei bertemakan Infrastruktur Berpacukan Awan–Ekosistem Digital Baharu di Pusat Seni Antarabangsa Shenzhen Longgang, China.

Menerusi kerjasama itu, Huawei akan menyediakan kepakaran teknologi, AI dan pengalaman pembangunan kampus pintar bagi menyokong perancangan induk JTSC, termasuk pembangunan kampus pintar seluas 430 ekar dalam Kampus AI Pengetahuan.

Kerjasama tersebut bertujuan memastikan pembangunan JTSC dirancang berasaskan amalan terbaik antarabangsa, dengan memanfaatkan pengalaman Huawei membangunkan kampus pintar berskala besar di Shanghai dan Dongguan, China.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perniagaan Perusahaan Huawei Malaysia, Du Xianjun berkata, pihaknya berbesar hati memilih Genting Property sebagai rakan kongsi antarabangsa pertama bagi pembangunan kampus pintar.

Menurutnya, model pembangunan itu sebelum ini hanya digunakan di kampus pintar milik Huawei di China sebelum diperluas kepada syarikat global.

“Kampus pintar JTSC berpotensi menjadi penanda aras baharu bagi pembangunan dan pengurusan ekosistem pintar pada masa hadapan,” katanya.

Selain pembangunan JTSC, kerjasama berkenaan turut membuka ruang kepada transformasi digital yang lebih meluas dalam ekosistem Genting Plantations, termasuk penggunaan teknologi perusahaan dalam operasi teras kumpulan itu.

Inisiatif berkenaan berpotensi menyokong inovasi dalam teknologi pertanian, pengurusan tenaga mampan serta pembangunan infrastruktur korporat berasaskan data.

Pembangunan JTSC juga dijangka menyumbang kepada usaha memperkukuh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menerusi pewujudan hab teknologi bertaraf dunia yang mampu menarik syarikat multinasional dan peneraju inovasi global.

Selain meningkatkan peluang perkongsian pengetahuan serta kepakaran teknologi, pembangunan itu turut dijangka membantu memperkukuh keupayaan industri tempatan dan kedudukan Malaysia sebagai destinasi bagi infrastruktur digital generasi baharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini