LONDON: Peninggalan sebuah perkampungan prasejarah ‘timbul’ di permukaan selepas paras air di sebuah empangan takungan utama menyusut ke paras terendah dalam tempoh beberapa dekad.
Gelombang haba yang melampau pada musim panas menyebabkan paras air di Empangan Takungan Fernworthy yang terletak di Devon, England merosot sehingga 30 peratus daripada kapasiti keseluruhannya.
Ekoran penurunan mendadak itu, runtuhan dan jejak tapak pondok batu dari Zaman Gangsa yang tenggelam sewaktu pembinaan empangan takungan berkenaan ketika Perang Dunia Kedua kini kembali jelas kelihatan, baru-baru ini.
Manusia direkodkan mula menetap di sekitar kawasan Dartmoor sekurang-kurangnya sejak tahun 2,300 Sebelum Masihi (SM), sekali gus menjadikan wilayah tersebut sebagai antara lokasi yang mempunyai kepadatan penempatan Zaman Gangsa tertinggi di England.
Menjelang tahun 2,500 SM, golongan petani purba mula meneroka kawasan hutan dan membina monumen peringatan yang rumit merangkumi lingkaran batu bagi memperingati si mati, selain mendirikan penempatan rumah bulat daripada batu.
Bagaimanapun, menjelang tahun 1,000 SM, aktiviti pencerobohan dan penggunaan tanah secara berlebihan oleh penduduk menyebabkan kawasan berkenaan menjadi lembap dan ditakungi air, sekali gus memaksa kebanyakan penempatan tersebut ditinggalkan.
Empangan Takungan Fernworthy dibina pada tahun 1942 dengan menenggelamkan kawasan seluas 30.7 hektar dan menampung sehingga 1.73 bilion liter air sekali gus melitupi keseluruhan sisa perkampungan terbiar berkenaan.
Kemunculan semula runtuhan purba berkenaan hanya berlaku beberapa kali dalam sejarah, termasuk semasa krisis kemarau berpanjangan yang melanda pada musim panas tahun 1976 dan kemarau pada tahun 2022.
Empangan di Devon itu merupakan contoh terbaharu bagi fenomena cuaca kering ekstrem pada tahun ini yang mendedahkan kembali struktur warisan sejarah yang lama tenggelam.
Pada Ogos lalu, struktur binaan batu dan garisan asas bangunan purba di Nether Hambleton turut kelihatan di dasar Empangan Takungan Rutland Water di wilayah East Midlands selepas kawasan seluas lebih 1,200 hektar yang ditenggelamkan sejak 1970-an bagi membentuk tasik buatan manusia terbesar di Eropah itu mengalami penyusutan air mendadak. – AGENSI











