JAKARTA: Dua pulau baharu muncul selepas berlaku siri letupan Gunung Anak Krakatua awal bulan ini, kata Agensi Geologi Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral. Ia mengesan dua pulau itu di barat laut dan tenggara Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda.
Ketua Pemangku Agensi Geologi, Lana Saria berkata dalam laporan di Jakarta pada Khamis bahawa kewujudan dua pulau baharu itu disahkan berdasarkan laporan pelaut dan sukarelawan, selain analisis imej satelit Sentinel setakat 23 September.
“Dua pulau baharu dikesan masing-masing 760 meter dari pantai Anak Krakatau di sektor barat laut dan 495 meter dari pantai di sektor tenggara.
“Jika dihubungkan dengan garisan lurus, kedua-duanya membentuk jajaran barat laut-tenggara dengan kawah utama terletak di antara kedua-duanya,” katanya.
Menurut Lana, pembentukan pulau baharu itu dipercayai berkait rapat dengan letusan berterusan Gunung Anak Krakatau dari 4 hingga 6 September 2026.
Letusan selama 25 jam dalam tempoh berkenaan mencetuskan aliran lahar deras yang menyebabkan struktur gunung berapi itu berkembang seluas 32.8 hektar.
Walaupun kemunculan pulau itu telah disahkan, beliau berkata, pasukan Agensi Geologi masih memerlukan data dan analisis lanjut bagi menentukan sama ada ia merupakan kawah letusan baharu atau timbunan bahan letusan sekunder.
Susulan penurunan status aktiviti Gunung Anak Krakatau daripada Tahap III kepada Tahap II berkuat kuasa 21 September lalu, Agensi Geologi mengeluarkan zon bahaya yang dikemas kini.
Orang awam dan pelancong dilarang memasuki kawasan dalam lingkungan dua kilometer dari kawah utama serta satu kilometer dari kedua-dua pulau baharu itu.
“Kami menggesa penduduk di sepanjang pantai Banten dan Lampung supaya bertenang, tidak mempercayai khabar angin mengenai tsunami dan mematuhi arahan keselamatan daripada Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) setempat,” tambah Lana. – AGENSI











