9,000 pengguna P. Pinang terjejas gangguan air

9,000 pengguna P. Pinang terjejas gangguan air

K. PATHMANATHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kira-kira 9,000 pengguna air di kawasan Lembah Permai dan kejiranan Hillside di Tanjung Bungah di sini dijangka mengalami gangguan bekalan air berjadual (SWSI) selama 12 jam bermula 10 malam, 5 Mac hingga 10 pagi, 6 Mac ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K. Pathmanathan berkata, gangguan itu berlaku susulan kerja-kerja menaik taraf dan mengukuhkan sistem bekalan air di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, PBAPP juga akan melaksanakan empat projek utama termasuk penggantian dua injap 600 milimeter (mm) yang rosak serta pemasangan dua injap baharu di sepanjang Jalan Lembah Permai dan saluran paip Vale of Tempe di sini.

“Projek tersebut terpaksa dilaksanakan susulan insiden kerosakan kotak gear yang berlaku pada injap di Vale of Tempe pada 18 Januari lalu sehingga menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual (UWSI) kepada kira-kira 2,200 pengguna.

“Bagaimanapun, ketika kejadian, bekalan air di kawasan yang terjejas iaitu meliputi kawasan sekitar Maybank Tanjung Bungah hingga ke Island Plaza serta kawasan berhampiran berjaya dipulihkan dalam tempoh 19 jam pada keesokan harinya.

“Justeru, bagi mengelakkan kejadian yang sama daripada berulang, PBAPP melaburkan sebanyak RM117,694 untuk melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan ini secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan projek tersebut dijangka meningkatkan kestabilan sistem bekalan air, selain menambah baik kawalan tekanan air terawat di kawasan perkhidmatan loji berkenaan.

Pada masa yang sama, katanya, usaha itu juga akan membantu memperkukuhkan pengurusan Air Tidak Berhasil (NRW) bagi memastikan kecekapan pengagihan bekalan air.

“PBAPP akan menghentikan operasi loji secara sementara bagi membolehkan semua kerja dilaksanakan secara serentak pada waktu malam bagi meminimumkan kesulitan kepada pengguna.

“Orang ramai di kawasan terlibat termasuk premis perniagaan dan hotel dinasihatkan supaya menyimpan bekalan air secukupnya sepanjang tempoh gangguan, manakala sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Pusat Panggilan 24 jam PBAPP,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN