PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) merekodkan pendapatan sebanyak RM2.89 bilion bagi sembilan bulan pertama tahun 2023, sekali gus menyaksikan kedudukan kewangannya lebih baik berbanding RM2.32 bilion bagi tempoh sama tahun 2022.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, peningkatan tersebut dicapai dengan usaha-usaha pelaburan berhemah yang berpandukan Alokasi Aset Strategik.
“Alokasi aset ini sebagai paksi penentuan alokasi pelaburan berdasarkan tahap risiko dan kecairan setiap kelas pelaburan, di sebalik suasana ekonomi dunia yang mencabar dan tidak menentu dalam tempoh tersebut,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara semalam.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa meminta kerajaan menyatakan status kedudukan kewangan Tabung Haji dan sejauh mana kelestarian pentadbiran institusi itu untuk menghadapi cabaran-cabaran mendatang.
Mengulas lanjut, kata Mohd. Na’im, pelaburan dalam instrumen pendapatan tetap menyumbang kepada pendapatan yang stabil sebanyak RM1.63 bilion iaitu meningkat sebanyak 16 peratus.
Katanya, pelaburan ekuiti pula menyumbang pendapatan sebanyak RM424 juta atau meningkat enam peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2022.
Selain itu, katanya, pelaburan hartanah menyumbang sebanyak RM253 juta manakala pelaburan instrumen pasaran wang menjana pendapatan sebanyak RM217 juta diikuti pendapatan lain sebanyak RM365 juta.
“Tabung Haji akan terus mengekalkan langkah-langkah penjimatan dan perbelanjaan berhemah bagi memastikan pengurusan perbelanjaan yang cekap,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Tabung Haji telah memperuntukkan dana sebanyak RM473 juta untuk bantuan kewangan haji kepada jemaah haji seiring dengan peningkatan kos menunaikan haji bagi seorang jemaah muassasah kepada RM30,850 tahun ini berbanding RM28,632 pada 2022.
Katanya, bantuan kewangan Tabung Haji kekal utuh selari dengan komitmen Tabung Haji memberi pengurusan haji terbilang kepada seluruh umat Islam Malaysia secara berterusan.
“Bagi memastikan kelestarian Tabung Haji pada masa hadapan, Pelan Transformasi Strategik Hijrah24 telah dirangka dan dilancar pada 2022. Pelan ini bertujuan memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan lagi prestasi Tabung Haji,” katanya.
Pada 8 November lalu, Mohd. Na’im dalam sidang Dewan Rakyat memberitahu, TH memeterai perjanjian kontrak jangka panjang membabitkan beberapa perkhidmatan di Arab Saudi bagi mengelakkan harganya meningkat setiap tahun sebagai usaha mengawal peningkatan kos haji.
Katanya, perjanjian kontrak jangka panjang itu antara lain dimeterai dalam aspek penerbangan, penginapan dan sajian makanan.
Pada 12 November lalu, seramai 67 jemaah haji dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) menolak Bantuan Kewangan Haji serta membuat bayaran penuh kos haji tahun ini.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman berkata, jumlah itu meningkat berbanding hanya 44 jemaah pada musim haji tahun lalu.
Katanya, seramai 396 jemaah haji bagi musim 1444H/2023 turut membayar antara RM1,000 hingga RM12,000 lebih daripada kadar bayaran haji yang ditetapkan. – UTUSAN










