Malaysia, Vietnam mahu tingkat kerjasama, keupayaan pertahanan

Malaysia, Vietnam nyatakan komitmen mahu tingkat kerjasama, keupayaan pertahanan

Mohamad Hasan dan Phan Van Giang selepas menandatangani MoU di Hanoi, Vietnam semalam - Ihsan Mindef
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dan Vietnam menyatakan komitmen masing-masing untuk meningkatkan keupayaan pertahanan dua negara tersebut termasuk melakukan kerjasama dalam industri pertahanan.

Kementerian Pertahanan (Mindef) berkata, Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan lawatan ke Vietnam selepas dijemput rakan sejawatannya, Jeneral Phan Van Giang untuk membincangkan langkah yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan kerjasama pertahanan.

Menurutnya, kedua-dua Menteri Pertahanan menekan­kan kepentingan kestabilan serantau dan menyatakan ko­mitmen Malaysia dan Vietnam untuk meningkatkan ke­upayaan pertahanan.

Mesyuarat dua hala ini turut membincangkan mengenai pelbagai aspek kerjasama ketente­raan, termasuk latihan bersama, perkongsian perisikan, dan kerjasama dalam teknologi pertahanan.

“Mohamad ­menekankan ke­pentingan penglibatan di­plomatik dalam menangani cabaran kontemporari dan menegaskan semula usaha Malaysia untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau.

“Kedua-dua menteri membincangkan potensi kerjasama dalam industri pertahanan, memperakukan manfaat bersama yang boleh timbul daripada usaha sama dan pemindahan teknologi,” katanya di dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Mindef berkata, memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang pertahanan turut diperbaharui yang mana perjanjian tersebut sudah dimeterai sebelum ini iaitu pada tahun 2018.

“Pembaharuan itu merupakan satu peristiwa penting dalam mengeratkan semula hubungan pertahanan antara Malaysia dan Vietnam.

“Kedua-dua Menteri menyatakan komitmen mereka untuk melaksanakan perundangan yang termaktub dalam MoU tersebut dan memastikan kejayaannya dalam memperkukuh hubungan pertahanan dua hala,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Mindef memaklumkan Mohamad turut membuat kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinch.

“Semasa pertemuan itu, Menteri Pertahanan Malaysia dan Perdana Menteri Vietnam membincangkan mengenai ke­pentingan kedua-dua negara dan memberi tumpuan terhadap keselamatan maritim.

“Kedua-dua pihak telah menyatakan minat bersama dalam mengekalkan persekitaran maritim yang stabil dan selamat serta meneroka jalan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang kritikal ini,” katanya.

Tambahnya, Mohamad turut menzahirkan rasa gembira kerana tahun ini merupkan genap 50 tahun penubuhan diplomatik antara Malaysia dan Vietnam.

“Vietnam adalah satu-satunya Negara Anggota ASEAN di mana Malaysia telah tingkatkan kerjasama dua halanya kepada Perkongsian Strategik,” kata kenyataan itu lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×