Lokasi panas PATI terus digempur PDRM – KPN

Lokasi panas PATI terus digempur PDRM – KPN

Suasana aktiviti harian yang berjalan seperti biasa ketika tinjauan Utusan Malaysia di Jalan Silang, Kuala Lumpur semalam. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan pendatang asing tanpa izin (PATI), malah akan terus menggempur lokasi-lokasi panas di seluruh negara sekiranya mendapat maklumat.

Itu penegasan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain melibatkan isu keselamatan terutama membabitkan warga asing yang dilihat semakin besar kepala dengan berlagak seperti warga tempatan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Razarudin berkata, operasi yang dilaksana Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Silang kelmarin adalah permulaan dan banyak lagi operasi seumpama itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Kata beliau, tindakan yang diambil PDRM ini adalah bertujuan bagi membanteras pelbagai aktiviti jenayah yang berlaku melibatkan PATI ini.

“Isu keselamatan melibatkan PATI adalah perkara yang perlu dipandang serius. Kita (PDRM) akan teruskan menggempur lokasi-lokasi panas yang dikenal pasti di seluruh negara.

“Kita (polis) akan bekerjasama dengan semua agensi kerajaan terlibat termasuk Jabatan Imigresen Malaysia dalam me­ngatasi kebanjiran pati lebih-lebih lagi di kawasan ibu negara,” katanya di sini.

Dalam perkembangan berasingan mengenai penahanan 1,101 PATI tanpa dokumen sah di ‘mini Dhaka’ sekitar Kompleks Kota Raya dan Jalan Silang dekat sini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, kesemua mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

Allaudeen ketika dihubungi berkata, hasil siasatan yang dilakukan pihak polis mendapati ada di antara PATI yang ditahan langsung tidak memiliki dokumen dan tinggal lebih daripada masa sepatutnya.

Kata beliau, ada juga di antara PATI berada di negara ini lebih sepuluh tahun dan tidak menolak kemungkinan ada juga yang sudah beranak pinak.

“Selain di lokasi semalam, kita (polis) juga telah kenal pasti lebih lima lokasi di sekitar ibu negara yang menjadi tempat tumpuan warga asing ini.

“Operasi seumpama ini sudah pasti akan diteruskan selepas ini tanpa mengira PATI daripada negara mana sekalipun. Tindakan tetap akan diambil,” jelasnya.

Semalam, ‘mini Dhaka’ sekitar Kompleks Kota Raya dan Jalan Silang dekat sini diserbu PDRM.

Dalam operasi khas itu, seramai 1,138 anggota pegawai dari Briged Tengah Pasukan Gerakan AM (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terlibat dalam operasi itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×