Lan Solo, Syura, Sheila lega kes saman fitnah selesai

Lan Solo, Syura, Sheila lega kes saman fitnah selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG: Selepas dua tahun setengah turun naik mahkamah berhubung kes saman fitnah Siti Nordiana, tiga sekawan, Lan Solo, isterinya, Nur Sheila Hassim dan penyanyi, Syura Badron, akhirnya tampil buka mulut untuk menjelaskan situasi mereka dalam satu sidang akhbar di sini, semalam.

Diwakili oleh peguam mereka, Azlan Abdul Razak, ketiga-tiga mereka memaklumkan tujuan sidang akhbar yang diadakan sekadar menjelaskan situasi dan bukannya mahu memburukkan mana-mana pihak termasuk Siti Nordiana.

Menurut Azlan, sidang akhbar itu bagi menjelaskan secara menyeluruh proses perdamaian yang dilakukan semalam terutama dalam usaha membetulkan persepsi masyarakat terhadap anak-anak guamnya.

“Tujuan dan keperluan sidang media hari ini (semalam) diadakan adalah atas arahan anak-anak guam saya dan juga berdasarkan cadangan saya sendiri.

“Ia bagi memaklumkan kepada semua bahawa sesi ini bukan untuk memburukkan mana-mana pihak. Ini juga adalah sesi untuk beritahu secara menyeluruh apa yang sebenarnya berlaku dan fakta yang mungkin terlepas pandang oleh mereka yang tidak berada di mahkamah.

“Pada masa yang sama, ini adalah untuk membetulkan persepsi masyarakat, peminat dan semua orang terhadap anak-anak guam saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, tambah Azlan, beliau sebagai peguam memerhati tindakan beberapa pihak yang melemparkan pelbagai kata-kata cacian kepada anak guamnya sepanjang tempoh dua tahun setengah kes ini berlangsung.

“Saya sebagai peguam, memerhatikan bahawa sewaktu kes bermula di mahkamah rendah lagi, terdapat pelbagai kata-kata dan kenyataan berbaur cacian dan makian.

“Saya percaya, walaupun kes ini sudah selesai, masih ada lagi cacian dan makian,” katanya.

Ditanya mengenai sesi perdamaian melalui permohonan maaf semua pihak, Azlan berkata, itu adalah kali pertama permohonan maaf berlaku.

“Sesi bermaaf-maafan yang berlaku semalam adalah kali pertama. Sepanjang kes ini berlangsung, peguam masing-masing tidak menyarankan agar ada komunikasi antara plaintif dan defendan.

“Alhamdulillah, terdapat perbincangan dan persetujuan semua pihak untuk menyelesaikan kes ini secara baik, iaitu melalui Penghakiman Persetujuan.

“Cadangan itu dipersetujui dan ditandatangani, menyebabkan kes ini tidak diteruskan sehingga ke penghujungnya.

“Hakim Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memberi saranan supaya terma-terma itu boleh dipanjangkan kepada semua pihak termasuk media,” katanya.

Penghakiman Persetujuan juga merakamkan tiga terma yang mendapat persetujuan kesemua pihak.

“Terma-terma penghakiman yang mendapat persetujuan adalah, tanpa gangguan terhadap liabiliti semua pihak saling bermaafan di hadapan hakim secara terbuka di mahkamah terbuka, plaintif tidak mempunyai kebebasan untuk memfailkan semula kes ini dan tiada perintah terhadap kos,” katanya.

Terdahulu, kontroversi tercetus selepas Lan dan Syura mengadakan sesi siaran langsung di Instagram pada 20 Julai 2021 dan berkongsi mengenai konflik yang berlaku antara mereka dengan Siti Nordiana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×