‘Babu Roti’ di penghujung jalan

‘Babu Roti’ di penghujung jalan

Sudah berpuluh tahun penjual roti bergerak atau sesetengahnya dikenali sebagai `babu roti' menabur bakti kepada orang ramai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cukup sekadar membunyikan hon, penjaja roti bergerak terutama yang menggunakan motosikal mampu memikat golongan kanak-kanak satu ketika dahulu.

Kehadiran mereka yang turut digelar sebagai ‘babu roti’ dalam masa yang sama memberi kelegaan kepada suri rumah mendapatkan bekalan roti dengan cara mudah.

Malah konsep perkhidmatan jual roti sampai depan pintu pada kadar harga yang berpatutan tanpa sebarang caj penghantaran menjadikan golongan ini umpama wira di sesebuah kawasan perumahan
Namun, dengan zaman ledakan teknologi, kehadiran mereka tidak lagi dinanti-nanti disebabkan persaingan perkhid­matan parcel hailing (p-hailing) selain kepelbagaian pilihan jenama roti di pasaran.

Pendapatan susut

Bagi ‘babu roti’ Sadick Mutalib, 48, permintaan terhadap perkhidmatan yang dijalankan secara warisan turun temurun itu semakin berkurangan di­sebabkan arus kemodenan.
Keadaan ini sekali gus menyebabkan pendapatannya terjejas sejak beberapa tahun ke­belakangan ini.

“Kalau dahulu saya boleh dapat sehingga RM90 sehari dan ada kalanya lebih bergantung kepada keadaan.

“Namun kini, pendapat saya hanya RM60 dalam sehari. Itu pun kalau cuaca baik. Seandainya hujan sudah tentu pendapatan saya akan berkurangan lagi,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Sadick Mutalib menyusun roti di atas motosikalnya untuk dijual di taman-taman perumahan. – MINGGUAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH.

Dia yang mempunyai dua orang anak dan menetap di Sentul akan memulakan perniagaannya setiap hari bermula pukul 8 sehingga 11.30 pagi di sekitar Batu Caves dan 6 petang sehingga 9 malam di beberapa kawasan di sekitar Kepong.

Walaupun dengan berniaga untuk tempoh dua sesi, peningkatan kos sara hidup menyebabkan Sadick terus berdepan detik sukar.

Dia menyifatkan riwayat ‘babu roti’ semakin sampai ke penghujung dan untuk kekal dalam perniagaan ini bagi satu jangka masa yang lama sememangnya sukar.

Apatah lagi dua orang anak­nya langsung tidak menunjukkan minat untuk meneruskan perniagaan dalam bidang ini.

 

“Anak-anak saya ada impian mereka sendiri. Saya tidak boleh paksa mereka kerana pada zaman mencabar ini, mereka sudah semestinya mencari peluang yang lebih baik,” jelasnya.

Menceritakan detik awal pembabitannya sebagai ‘babu roti’, Sadick berkata, dia pada awalnya dalam dilema sama ada mahu meneruskan kerjaya wa­risan turun temurun daripada bapanya atau mencari pekerjaan lain yang lebih sesuai.

“Pada masa itu saya berada dalam ketidaktentuan dan perlu membuat pilihan sama ada mencari pekerjaan tetap yang lebih terjamin atau menjual roti.

“Akan tetapi selepas melihat dari segi masa yang tidak terikat dan keuntungan diperoleh pada masa-masa tertentu, saya membuat keputusan meneruskan perniagaan ini yang telah dimulakan daripada ayah saya sejak lebih 15 tahun tahun lalu,” ujarnya.

Walaupun permintaan terhadap roti yang dijual menurun, Saddick Mutalib terus menjualnya kepada pelanggan setia. – MINGGUAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH.

Tambah Sadick, bekalan roti yang diperoleh dihantar oleh ejen secara terus di rumahnya setiap hari atau selang dua hari bergantung kepada keadaan.

Dia berkata, pelanggannya bukan sahaja terdiri daripada golongan yang sudah berkeluarga, tetapi turut terdiri daripada pemilik restoran mamak.

“Restoran mamak ini pelanggan tetap. Setiap hari saya akan lihat jenis-jenis roti yang perlu ditambah atau ditukar.

“Walaupun untung tidaklah sebesar mana, sekurang-kurangnya saya sudah ada pe­langgan tetap,” katanya.

Pupus, bakal senasib penjaga lif?

Dalam pada itu, salah seorang ‘babu roti’ yang mahu dikenali sebagai Kareem, 51, berkata, dia menyifatkan peniaga roti yang menggunakan motosikal umpama ‘telur di hujung tanduk’

“Berapa ramai sekarang penjaja roti yang tinggal di ibu negara? Kalau ada pun banyak yang sudah berumur.

“Malah, kalau hendak masuk di kawasan pembinaan pun, ada warga negara Indonesia yang menjual kuih-muih menggunakan motosikal. Ia lebih menepati selera pekerja terbabit berbanding roti yang menjadi pilihan untuk orang berkeluarga,” ujarnya.

Kareem dalam masa yang sama turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemampuan ‘babu roti’ untuk kekal dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Pekerjaan seperti kami ini majoriti perniagaan warisan. Awak tengok berapa ramai ‘babu roti’ orang muda?

“Saya fikir, pekerjaan ini akan mengalami senasib pekerjaan lain seperti penjaga lif yang kini sudah pupus ditelan zaman,” katanya.

Kejar babu roti demi ‘Tora’, ‘Ding Dang’

Kehadiran penjaja bermotosikal menggamit memori zaman dahulu terutama bagi mereka yang lahir pada tahun 80-an dan 90-an.

Menurut Mohamad Nazmee Adziz, 36, dia tidak akan melupakan saat mengejar ‘babu roti’ ha­nya untuk membeli keropok atau permainan seperti ‘Tora’ dan ‘Ding Dang’.

“Pada masa dulu, kalau dengar sahaja bunyi hon motosikal ‘babu roti’, semua kerja terhenti dan te­rus kejar mendapatkan mereka.

“Malah ada masanya saya sendiri sanggup tidak berbelanja di sekolah untuk membeli permainan atau keropok dengan ‘babu roti’ untuk makan bersama kawan-kawan ketika bermain waktu petang,” jelasnya yang merindui zaman tersebut.

Pelanggan setia termasuk kanak-kanak antara yang terus menanti kedatangan `babu roti’. – MINGGUAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH.

Dia dalam masa yang sama berkata, ‘babu roti’ turut menjadi ‘umpan’ golongan ibu bapa satu ketika dahulu untuk menyuruh anak mereka melakukan sesuatu tugasan.

Langgar peraturan undang-undang jalan raya

Dalam pada itu, Pengarah Kanan Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jaaman berkata, motosikal yang digunakan ‘babu roti’ itu tidak dibenarkan dan me­nyalahi undang-undang ke­selamatan jalan raya.

“Tetapi mereka lakukan dengan ‘curi-curi’. Kalau jum­pa, kita akan mengambil tindakan. Untuk pengetahuan, pengubahsuaian kenderaan mesti mendapat kelulusan JPJ dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

“Ia sama seperti motosikal roda tiga. Mereka ini ada yang lulus selepas hantar butiran dan diperiksa jabatan kejuruteraan JPJ. Tidak semua yang operasi secara haram,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, kata Lokman, beliau yakin kende­raan yang menjadi kelaziman ‘babu roti’ tidak mendapat kelulusan.

“Motosikal yang ‘babu roti’ pakai, saya rasa memang tidak ada kelulusan. Kalau memohon pun tidak akan dapat sebab ia bukan kenderaan perdagangan.

“Kalau kita tahan dan periksa serta didapati bersalah, motosikal mereka kita akan sita. Tiada saman dikeluarkan. Selepas disita, kita akan suruh mereka ubah balik kepada yang asal. Ia sama sebagaimana motosikal ‘mat rempit’. Kita tahan, sita dan suruh mereka ubah suai kepada yang asal,” katanya.

Beri kelonggaran

Walaupun penjual roti bermotosikal disifatkan agak berbahaya dan tidak mempunyai ciri keselamatan, peranan mereka penting untuk memudahkan penduduk di pinggir bandar serta kampung mendapatkan bekalan karbohidrat.

Justeru, Pakar Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr. Law Teik Hua mencadangkan mereka diberi kelonggaran membawa motosikal di kawasan tertentu

Katanya, situasi ‘menang-menang’ antara JPJ dan penjaja perlu diwujudkan bagi membantu golo­ngan berkenaan mencari rezeki.

“Kita tidak boleh menyekat mereka berniaga. Walaupun ada yang melihat dari aspek undang-undang, ia tidaklah berisiko besar seperti kenderaan berat lain.

“Malah, jumlah mereka tidak ramai. Mungkin kita boleh benarkan mereka di jalan tertentu, bukannya melibatkan lebuh raya,.

“Ada masalah keselamatan di­sebabkan berat dan kebanyakannya menggunakan motosikal lama, jadi pergerakan lambat. Lagipun ia bukanlah kenderaan perdagangan.

“Jadi adalah lebih baik diberi kelonggaran untuk mereka terus mencari rezeki,” jelasnya. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×