Bapa reda anak hafal 30 juzuk al-Quran maut nahas

Bapa reda anak hafal 30 juzuk al-Quran maut nahas

ISMAIL Beharom menunjukkan gambar anaknya dalam telefon bimbit ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Delima, Seri Manjung. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: “Ketika diberitahu anak meninggal akibat kemalangan, rasa bimbang dan tertanya-tanya bagaimana keadaan jasadnya. Alhamdulillah, hati tenang sebaik sahaja melihat mukanya yang jernih dan keadaan tubuhnya sempurna”.

Itu kata Ismail Beharom, 50, mengenai anaknya, Muhamad Yusuf, 18, yang maut dalam kemalangan motosikal di Kilometer 1 Jalan Kampung Penchalang, dekat Batu 7, Lekir di sini kelmarin.

Muhamad Yusuf ditemui penduduk dalam keadaan terbaring di tengah jalan raya ketika dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Agama At-Taalim (At-Taalim) kira-kira pukul 3 petang, sebelum menghembuskan nafas terakhir di Hospital Seri Manjung (HSM) pada pukul 5.20 petang.

Mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Fasa 3C, Seri Manjung, sebelum solat zuhur semalam.

Menurut Ismail, anak kelima daripada tujuh beradik itu sebelum ini belajar di Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Abrar, Seri Manjung, selama empat tahun selepas tamat belajar di sekolah rendah.

Jelasnya, sebaik sahaja berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran, Muhamad Yusuf kemudian melanjutkan pelajaran ke At-Taalim mulai tahun lalu dan bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

“Sepatutnya arwah hanya belajar tiga tahun di maahad tahfiz tetapi belum dapat menghafaz keseluruhan al-Quran dan saya mencadangkannya belajar setahun lagi di situ, dia akur dan berjaya menghafal 30 juzuk,” katanya.

Ismail memberitahu, arwah sepatutnya pergi ke kelas tambahan petang kelmarin yang bermula pukul 3 petang tetapi agak terlewat keluar dari rumahnya di Taman Seri Delima, Seri Manjung.

Katanya, doktor yang melakukan bedah siasat memaklumkan arwah mengalami kecederaan di kepala dan bahagian anggota dalaman tubuhnya.

Katanya, beberapa hari lalu arwah kelihatan agak ramah dan banyak berbual dengan keluarga sedangkan sebelum ini anaknya itu agak pendiam dan tidak begitu gemar berkongsi hal peribadi.

Pada masa sama katanya, rakan sekelas memberitahu arwah sejak kebelakangan ini agak pendiam di sekolah dan ada berkongsi cerita berkaitan kematian dalam akaun media sosialnya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa yang menunggang motosikal seorang diri ketika hujan hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh atas jalan raya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Lily Suryana Roslaili di talian 013-6559693. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN