PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim sedar dirinya berdepan kecaman dan kritikan hampir setiap hari, tetapi beliau tidak pernah mengambil tindakan terhadap kecaman tersebut ke atas mana-mana pihak.
Perdana Menteri menjelaskan, tindakan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang dikenakan pertuduhan mahkamah mengikut Akta Hasutan 1948 dua bulan lalu bukan kerana kritikan terhadap beliau.
Sebaliknya, katanya, Muhammad Sanusi didakwa kerana beliau mengeluarkan kenyataan yang menyentuh kedaulatan raja-raja.
“Ia sudah ada dalam undang-undang, sebab sebarang kritikan terhadap Perdana Menteri atau kerajaan saya tak dakwa, saya dikecam setiap hari, tapi tiada siapa kena dakwa.
“Tapi kalau kamu sentuh raja atau sultan, kita ada undang-undang, ia tidak serius seperti lese majeste tapi undang-undang itu ada, melainkan kita membuat beberapa pelarasan kepada undang-undang maka kita boleh mempertimbangkan sama ada kenakan pendakwaan atau tidak,” katanya dalam wawancara CNN bersama pengacara terkemuka, Christiane Amanpour.
Namun, Anwar menyifatkan, undang-undang melindungi raja masih lagi diperlukan atas beberapa faktor.
“Saya tidak boleh dikritik hanya kerana pendakwaan melibatkan raja, jika saya dikritik dan saya ambil tindakan terhadap kritikan itu, maka ia wajar dipersoalkan.
“Saya fikir perlu untuk melindungi institusi raja, ia sudah diputuskan sejak merdeka, ini sistem yang kita warisi, jadi jika ada yang dianggap menghina raja dan didakwa oleh Peguam Negara, ada undang-undangnya, selagi kita belum pinda, selagi itu undang-undang ini terus dikuatkuasakan,” katanya.
Julai lalu, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas tuduhan mengeluarkan kenyataan mempunyai kecenderungan menghasut yang boleh menimbulkan rasa tidak setia terhadap mana-mana raja.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Anwar bagaimanapun kekal terbuka dengan sebarang kritikan daripada mana-mana pihak, meskipun ia datang daripada ahli-ahli partinya sendiri, seperti Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim.
“Lihat perkara ini (kritikan) dengan lebih positif, prosesnya sangat demokratik, apa yang mereka harapkan pada saya? Adakah mahu saya mengarahkan Peguam Negara untuk mengubah keputusan,” soalnya.
Dalam pada itu, Anwar mempertahankan tindakan Kementerian Dalam Negeri merampas jam tangan berjenama Swatch berunsurkan LGBT beberapa bulan lalu.
“Kita ada konsensus di negara ini dan kita tidak menerimanya. Layanan tidak adil terhadap mereka adalah isu berbeza dan saya tidak membenarkan sebarang percubaan untuk mengganggu mereka. Konsensus ini harus dihormati, tetapi ia tidak boleh dilihat sebagai satu gangguan (harassment).
“Pada masa sama, kita perlu kaji semula undang-undang (melibatkan LGBT), ia tidak sepatutnya disalahgunakan sehingga digunakan untuk penganiayaan politik, tetapi kita tetap perlu menghormati sentimen umum Malaysia, kita perlu bertoleransi dalam perkara ini,” katanya. – UTUSAN










