Hanya 16% tanah untuk pengeluaran makanan

Hanya 16% tanah untuk pengeluaran makanan

Negara masih kekurangan tanah seluas 483,000 hektar untuk memastikan keterjaminan makanan domestik, -UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hanya 817,000 hektar atau 16 peratus daripada 5.36 juta hektar tanah pertanian digunakan untuk tujuan tanaman makanan, penternakan dan perikanan sedangkan Malaysia memerlukan kawasan bagi aktiviti pengeluaran sumber makanan seluas hampir 1.3 juta hektar menjelang 2030.

Kajian Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (PeGUMN) Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) menunjukkan, Semenanjung Malaysia dan Labuan mempunyai tanah pertanian seluas 5.36 juta hektar atau 40 peratus dengan sebahagian besar digunakan bagi tanaman komoditi seperti sawit dan getah.

Namun hanya tanah seluas 817,000 hektar atau 16 peratus digunakan untuk pengeluaran makanan termasuk kawasan padi semasa iaitu 379,000 hektar atau 7.1 peratus dari keluasan Semenanjung Malaysia dan Labuan.

Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan hasil padi negara merosot sehingga lebih 300,000 tan metrik dalam tempoh enam tahun sejak 2015 di seluruh negara, sekali gus menjadi antara faktor kekurangan bekalan beras tempatan semakin sukar untuk mencapai tahap saraan diri.

Pada 2015 hasil padi direkodkan sebanyak 2,741,404 tan metrik dan jumlah tersebut berterusan merosot sehingga tahun 2021 dengan hasilnya merudum kepada 2,418,148 tan metrik

Secara umumnya jumlah keluasan keseluruhan guna tanah Semenanjung Malaysia dan Labuan ialah 13,191,165.01 hektar dengan perincian keluasan guna tanah mengikut 12 kategori termasuk hutan (6.2 juta hektar), pertanian (5.36 juta hektar) tepu bina (1.3 juta hektar) dan badan air (358,746 hektar).

Justeru, Malaysia perlu menambah tanah pertanian seluas 483,000 hektar atau 37 peratus dengan melihat unjuran jumlah penduduk dijangka bertambah kepada 36.4 juta pada 2030 dan 40.7 juta pada 2040.

Berbanding negara lain, Indonesia dan Thailand masing-masing mempunyai keluasan tanaman padi seluas 10.6 juta dan 9.2 juta hektar sekali gus cukup menampung keperluan Tahap Sara Diri (SSL) sehingga 100 peratus.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Kluster Pertanian dan Sekuriti Makanan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Anjas Asmara Samsudin berkata, meskipun Malaysia memiliki keluasan guna tanah untuk sektor pertanian yang tinggi, kebanyakan kawasan itu tidak sesuai dijadikan penanaman pengeluaran makanan.

Beliau berkata, perkara itu menyumbang faktor jumlah ke­cil tanah pertanian digunakan untuk tujuan tanaman makanan, penternakan dan perikanan di samping sebahagian besar digunakan bagi tanaman komoditi.

Katanya, negara memerlukan tanah pertanian bagi aktiviti pengeluaran sumber makanan seluas hampir 1.3 juta hektar bagi memenuhi unjuran kadar sara diri ditetapkan dalam Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 pada 2030.

“Namun jumlah itu belum cukup mencapai 100 peratus Tahap Sara Diri (SSL) keterjaminan makanan. Ini kerana dasar ini menyasarkan jumlah tertentu tetapi tidak ke tahap 100 peratus.

“Antara masalah dikenal pasti adalah kesesuaian tanah untuk pertanian. Misalnya ada diberikan tanah padang ragut bagi penternakan lembu, tetapi yang diberikan tidak sesuai dengan kawasan berbatu dan berbukit.

“Malah isu kekurangan tanah pertanian juga disebabkan penukaran status kepada industri yang mempunyai pungutan cukai tinggi. Jadi pihak kerajaan negeri kena meluluskan permohonan penukaran bagi meraih kutipan demi menjana negeri,” katanya ketika dihubungi.

Sejak kebelakangan ini, hala tuju pertanian dan keterjaminan makanan negara semakin hangat diperdebatkan ekoran penghentian kemasukan beras daripada India sekali gus menyebabkan bekalan makanan ruji terjejas.

Malaysia bergantung kepada import beras sebanyak 35 peratus setahun dengan bekalan makanan itu bagi menampung rakyat negara ini sebanyak 2.4 juta tan metrik bagi tempoh itu.

Anjas Asmara yang juga Pensyarah Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, kerajaan perlu meningkatkan penggunaan tanah pertanian secara optimum bagi untuk menampung makanan rakyat termasuk menyalurkan insentif kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata, kerajaan negeri terpaksa menebus guna tanah pertanian kepada perindustrian sebagai sumber pendapatan negeri melalui cukai tanah yang dikenakan kerana cukai tanah bagi aktiviti pertanian yang rendah.

“Selain itu, kerajaan perlu menyeimbangkan antara menjaga keterjaminan makanan rakyat dan kebajikan para petani. Hal ini terdapat usahawan tani memfokus pertanian seperti tanaman durian untuk diekport ke luar negara kerana menguntungkan berbanding pertanian kegunaan domestik.

“Penglibatan Sabah dan Sarawak yang mempunyai kapasiti tanah yang luas turut dilihat berpotensi dalam membantu pengeluaran sumber makanan supaya import bahan makanan negara dapat dikurangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Kluster Pertanian dan Sekuriti Makanan,Akademi Profesor Malaysia, Prof Datin Fatimah Mohamed Arshad berkata, semua pihak perlu meningkatkan aplikasi teknologi hijau untuk meningkat pengeluaran hasil pertanian bagi mencapai pengeluaran hasil yang lestari dan mesra alam, produktif dan dinamik.

Katanya, Israel, Belanda dan Dubai mempunyai dengan tanah yang kecil tetapi berjaya meningkatkan hasil pengeluaran kerana faktor penggunaan teknologi maju.

“Tidak perlu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau estet makanan sedangkan kebanyakkan petani kecil di negara-negara ini mengusahakan hasil dan mampu dieksport ke luar.

“Malah Malaysia perlu utamakan makanan untuk sekuriti makanan kerana kita terlalu berat kepada tanaman industri iaitu 85 peratus tanah pertanian ditanam dengan kelapa sawit dan getah,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN