PETALING JAYA: Polis percaya empat lagi lelaki dipercayai terlibat kes rogol berkumpulan di Wangsa Maju dekat sini masih berada dalam negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, pihaknya kini sedang giat mengesan empat suspek berusia antara 20-an hingga 30-an.
“Suspek utama iaitu abang ipar mangsa berusia 29 tahun itu dituduh pagi tadi di bawah Seksyen Seksyen 107 Kanun Keseksaan (KK) bersama Seksyen 375B KK.
“Bagaimanapun, kita masih giat mengesan keempat-empat suspek dipercayai melarikan diri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam Ashari dilaporkan berkata, abang ipar mangsa berusia 29 tahun dipercayai terlibat dengan penagihan dadah.
“Abang ipar kepada wanita yang dirogol itu didapati positif dadah methamphetamin,” ujarnya.
Sebelum ini, polis menahan abang ipar mangsa pada Sabtu lalu di hadapan sebuah kedai di Wangsa Maju dekat sini.
30 Ogos lalu, media melaporkan mangsa berusia 27 tahun itu tersedar daripada tidur apabila tangannya diikat dan mulutnya dilekatkan dengan pita pelekat oleh suspek pada pukul 3.30 pagi.
Mangsa kemudiannya dirogol bergilir-gilir tiga lelaki dipercayai rakan-rakan abang iparnya.
Ketika kejadian, anak saudara mangsa terlihat kesemua suspek termasuk rakan abang ipar serta seorang lagi rakan pulang ke rumah.
Perbuatan terkutuk itu turut dirakam suspek dan selepas merogol mangsa, semua suspek melarikan diri.- UTUSAN










