PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia perlu mempertahankan hak persempadanan maritim bersama negara-negara anggota ASEAN bagi menafikan tuntutan China Nine Dash Line atau ‘Sembilan Garis Putus’ yang merentasi Laut China selatan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, bagi tujuan itu, kerajaan perlu memeterai perjanjian bersama dengan negara anggota untuk menetapkan wilayah laut dalam kalangan ASEAN sebagai bentuk penegasan berhubung hak itu.
“Dengan adanya persetujuan persempadanan laut antara kita, ia akan dapat mengukuhkan dan mengelak China sewenang-wenangnya membuat tuntutan sempadan,” katanya di sini semalam.
Terdahulu, Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican menegaskan, Malaysia wajar mengeluarkan peta baharu sebagai pengukuhan dan peringatan kepada wilayah geografi serta kedaulatannya termasuk menggunakan garis sempadan maritim dalam menafikan tuntutan China.
Wan Ahmad Fauzi yang juga Pensyarah Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata, kedudukan laut Melayu yang diiktiraf sejak lama dahulu seperti dalam peta yang dibuat oleh De Eredia, Andaya dan lain-lain ahli sejarah dunia perlu dikemukakan kembali.
Katanya, kedudukan laut Melayu adalah merentasi dari teluk Benggal, Selat Melaka hingga Teluk Siam mengelilingi semenanjung Tanah Melayu sehingga merentasi ke Mindanao dan Sulawesi.
“Kerajaan Melayu Tua terkenal sebagai penguasa laut, sebab itu kita lihat kota-kota kerajaan Melayu di pelabuhan di sepanjang semenanjung Tanah Melayu sehingga kita ada undang-undang laut Melaka.
“Ia menunjukkan penguasaan ke atas wilayah pengairan lautan sejak dahulu merupakan sebahagian tanah air orang Melayu, malah Negeri Melayu sejak dahulu ditafsirkan meliputi tanah, Pulau dan perairan seperti yang ditadbirnya, ” katanya. – UTUSAN










