1,000 rakyat Malaysia ‘ditawan’ di Myanmar

1,000 rakyat Malaysia ‘ditawan’ di Myanmar

HISHAMUDDIN HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 1,000 rakyat Malaysia dikesan dijadikan tawanan dan hamba oleh sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa yang beroperasi di Myanmar dengan dipaksa bekerja sebagai ‘operator panggilan’ untuk melakukan penipuan atau scam.

Bukan itu sahaja, rakyat Malaysia berkenaan juga didakwa akan dipukul, dikurung di dalam bilik gelap atau tidak diberi makan dan minum sekiranya mereka menolak dan ingkar arahan sindiket itu.

Malah, sindiket itu akan bertindak lebih kejam jika mangsa gagal melaksanakan tugas atau tidak mencapai sasaran yang dikehendaki oleh mereka.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, berpuluh aduan diterima oleh pihaknya membabitkan rakyat Malaysia yang ditipu dan kini menjadi tawanan sindiket di negara itu.

Kata beliau, ada aduan dibuat oleh waris mangsa yang memaklumkan diugut ahli sindiket supaya membayar sejumlah wang bernilai ratusan dan jutaan ringgit sekiranya mahu ahli keluarga mereka dilepaskan.

“Sebelum ini kita ada terima laporan oleh seorang wanita yang mana anaknya telah dipaksa bekerja di negara luar dan jika mahu dilepaskan, dia perlu membayar RM1.2 juta. Nilai yang dikenakan adalah berbeza-beza mengikut sindiket.

“Sukar untuk melarikan diri kerana mereka ditempatkan di sebuah lokasi selain markas sindiket dikawal ketat dan bersenjata,” katanya di sini semalam.

Pada 16 Februari lalu Dewan Rakyat diberitahu, seramai 339 rakyat Malaysia terkandas di beberapa buah negara akibat sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara, membabitkan Kemboja, Laos, Myanmar, Thailand, Filipina dan Dubai.

Menjelaskan perkara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada jumlah itu, seramai 121 masih terkandas dan kini pihaknya sedang bekerjasama dengan polis bagi membawa pulang mangsa-mangsa yang masih lagi terkandas.

Bagaimanapun, tiada laporan kehilangan nyawa setakat ini.

Mengulas lebih lanjut, kata Hishamuddin, ada beberapa helah digunakan sindiket ini bagi memerangkap dan memperdaya rakyat Malaysia untuk bekerja di sana.

Kata beliau, ada mangsa-mangsa yang ditawarkan de­ngan pekerjaan bergaji lumayan mencecah RM15,000 (AS3,000) dengan bekerja di Thailand.

“Setiba sahaja di negara itu, mereka ini dipercayai akan diculik sebelum dihantar ke Myanmar melalui sempadan Mae Sot.

“Ada juga yang ko­nonnya ditawarkan pekerjaan di Dubai dan perlu menghadiri latihan terlebih dahulu di Thailand. Tetapi setiba di sana, mereka dipaksa pula masuk ke Myanmar dan terkandas di sana.

“Pelbagai kaedah digunakan sindiket ini termasuk ada antara mereka ditipu oleh kenalan dan syarikat yang menawarkan pekerjaan,” jelasnya.

Hishamuddin berkata, sindiket-sindiket ini mempunyai rangkaian jenayah rentas sempadan dan beroperasi secara teratur serta mempunyai jalinan rangkaian yang luas.

Kata beliau, sindiket ini dipercayai didalangi individu yang berpangkalan di beberapa negara seperti China dan Taiwan tetapi dikendalikan oleh rakyat tempatan.

“Situasi mangsa-mangsa yang diperdayakan tawaran kerja palsu di Laos dan Myan­mar adalah agak kompleks sedikit. Ini kerana, kedutaan Malaysia tidak mendapat kerjasama daripada pihak berkuasa di sana yang menyebabkan masih ramai lagi rakyat Malaysia yang terpe­rangkap di negara itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN