Siapa bakal dua Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang?

Siapa bakal dua Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang?

CHOW Kon Yeow mengangkat sumpah memegang jawatan Ketua Menteri di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Seri Mutiara, George Town, Pulau Pinang kelmarin.. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Dengan kemenangan gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang dan selesainya Chow Kon Yeow mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri, perhatian kini beralih pula kepada pembentukan barisan Exco kerajaan negeri.

Tumpuan pastinya lebih terarah kepada dua jawatan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang yang bakal diisi dua muka baharu selepas penyandang jawatan itu tidak bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Sabtu lalu.

Secara tradisinya di bawah Pakatan Harapan (PH), Pulau Pinang mempunyai dua Timbalan Ketua Menteri bagi mewakili masyarakat Melayu dan kaum India.

Bagaimanapun, Kon Yeow boleh memilih untuk tidak meneruskan tradisi itu dan melantik hanya satu Timbalan Ketua Menteri bagi menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran kerajaan negeri beliau bagi penggal kedua kali ini.

Namun, tradisi melantik dua Timbalan Ketua Menteri itu dilihat akan diteruskan melihat kepada pembentukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang baharu yang turut disumbangkan oleh wakil rakyat daripada parti komponen PH-BN iaitu tujuh daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR); dua BN (UMNO) dan satu daripada Parti Amanah Negara (Amanah).

Sebelum ini, nama-nama calon daripada BN khususnya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang memenangi DUN Bertam disebut-sebut antara yang akan mengisi jawatan Timbalan Ketua Menteri I.

Selain beliau, beberapa nama daripada PKR juga dicadangkan antaranya tokoh akademik, Prof. Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid yang memenangi kerusi DUN Batu Maung.

Sama ada Reezal Merican atau Mohamad, kedua-duanya dilihat calon sesuai bagi mengisi jawatan nombor dua kerajaan negeri mewakili kaum Melayu itu berdasarkan latar belakang dan pengalaman masing-masing.

Reezal Merican sendiri bukan asing dalam urusan pentadbiran sebuah kerajaan memandangkan bekas Ahli Parlimen Kepala Batas itu pernah menjadi Menteri kanan Kabinet sebelum ini.

Sudah pasti, pengalamannya di peringkat pentadbiran Kerajaan Pusat menjadi satu kelebihan kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke arah mempercepat dan merancakkan lagi agenda pembangunan negeri.

Mohamad juga bukan calang-calang individu yang mana beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang pentadbiran terutama sebagai bekas Rektor Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (Kitab) Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Mohamad mempunyai sedikit kelebihan memandangkan partinya iaitu PKR mempunyai kerusi lebih banyak dalam gabungan Kerajaan Perpaduan ketika ini apabila memenangi tujuh DUN berbanding hanya dua DUN oleh BN.

Barangkali, perkara itu akan dijadikan pertimbangan oleh Kon Yeow dalam melantik Timbalan Ketua Menteri I kelak manakala Reezal Merican mungkin akan diberikan portfolio lain dalam kerajaan negeri bagi memastikan pengalaman dan kepakaran beliau tidak disia-siakan.

Bagi lantikan Timbalan Ketua Menteri II yang mewakili kaum India pula, pilihan bagi jawatan itu nampaknya sangat jelas terarah kepada ADUN Perai, Datuk Seri S. Sundarajoo daripada DAP.

Malah, Sundarajoo juga diletakkan bertanding di kerusi DUN Perai yang sebelum ini disandang bekas Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy yang kini bukan lagi ahli DAP.

Bagaimanapun, sekiranya Kon Yeow masih memerlukan pilihan lain, ADUN Batu Maung, A. Kumaresan juga dilihat calon sesuai untuk mengisi jawatan Timbalan Ketua Menteri II atas kapasiti pengalaman beliau dalam politik termasuk berjaya mempertahankan kerusi itu buat penggal kedua berturut-turut.

Sesuatu yang pasti, selain dua jawatan Ketua Timbalan Menteri, keseluruhan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga dilihat bakal dibarisi wajah-wajah baharu.

Ia berikutan hampir keseluruhan iaitu enam daripada lapan Exco kerajaan negeri sebelum ini digugurkan sebagai calon pada PRN kali ini dengan dua yang terselamat ialah Zairil Khir Johari dan Jagdeep Singh Deo.

Adalah dijangkakan, Zairil dan Jagdeep akan kekal dalam barisan Exco baharu, namun mungkin akan berpindah ke portfolio yang berbeza.

Malah, Kon Yeow juga dijangka mengekalkan 11 jawatan Exco kerajaan negeri seperti sebelum PRN-15 memandangkan kali terakhir jawatan itu dirombak adalah pada September 2020 bagi disesuaikan dengan situasi pentadbiran pasca pandemik Covid-19.

Apa pun, segala teka-teki mengenai barisan baharu kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu akan terjawab apabila Kon Yeow dijangka mengumumkannya hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN