BALING: Seramai 44 Orang Asli Kensiu dari Kampung Lubuk Legung, di sini menuntut sebuah syarikat yang dimiliki salah seorang calon pilihan raya negeri (PRN) di daerah itu membuat bayaran hasil tanaman ladang getah yang diusahakan sejak 2006.
Tok Batin, Razali Kulim, 44, berkata, mereka membuat laporan polis kali kedua untuk mendapatkan bayaran hasil ladang yang didakwa tidak dibayar selama dua tahun bermula Ogos 2021 hingga kini oleh syarikat terbabit.
“Kami berjumpa sebanyak dua kali tetapi tidak dapat penyelesaian atau jawapan daripada pihak syarikat, kami cuma tuntut hak kami dan minta pihak syarikat membuat bayaran sebanyak RM200,000 dengan kadar segera sebelum tindakan lanjut diambil oleh peguam kami.
“Kalau pihak syarikat tidak dapat menguruskan lagi ladang tersebut, kami harap ia dapat diselesaikan dengan baik bersama para peserta,” katanya ketika ditemui di pekarangan Balai Polis Baling, semalam.
Menurut Razali, tuntutan bayaran sebanyak RM300 sebulan untuk setiap peserta itu perlu dilunaskan segera oleh pihak syarikat kerana mereka hanya mahu wang itu untuk membeli keperluan makanan kepada keluarga.
Projek ladang getah seluas 400 hektar mula diperkenalkan sekitar tahun 2006 yang projek asalnya dibangunkan oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (Jakoa) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Daerah Baling dengan tempoh projek dijalankan selama 27 tahun.
Difahamkan sekitar 2013, syarikat terbabit mengambil alih projek itu daripada penduduk kampung dan 44 pesertanya mendapat hasil bulanan yang ditetapkan sebanyak RM450.
Sementara itu, Pengerusi Ladang Getah, Alang Itam, 36, berkata, mereka juga telah membuat laporan polis pada kali pertama pada Mei lalu sebelum diikuti laporan kedua.
“Sejak syarikat itu ambil alih pada 2013, pembayarannya berjalan dengan lancar sehingga bulan Ogos 2021, tetapi selepas itu mereka gagal membuat bayaran sehingga kini.
“Kami beberapa kali membuat aduan kepada Jakoa berkenaan pelanggaran surat perjanjian berkaitan pembayaran hasil ini, namun sehingga kini masih tiada maklum balas daripada pihak syarikat,” katanya.
Tambahnya, pihak syarikat juga tidak memaklumkan atau memberikan sebarang notis berkenaan pemberhentian pembayaran tersebut yang membuatkan mereka tertunggu-tunggu selama dua tahun ini.
Peserta ladang, Milah Macang, 58, berkata, mereka hanya menuntut hak masing-masing yang harus dibayar oleh syarikat terbabit seperti yang dipersetujui. – UTUSAN










