Siti Nurhaliza sepentas bersama David Foster

Siti Nurhaliza sepentas bersama David Foster

SITI NURHALIZA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 44, meluahkan rasa teruja dan gementar apabila bakal berkongsi pentas dengan maestro terkemuka, David Foster menerusi persembahan bersama di Konsert David Foster & Friends Asia 2023.

Jelas penyanyi nombor satu negara itu, impian yang dipendam sembilan tahun lalu ketika kali pertama berkolaborasi di persembahan eksklusif pada 2014 akan terlaksana pada 7 Ogos di Mega Star Arena.

Tambah Siti Nurhaliza, dia juga bakal menjayakan konsert sama pada keesokan hari di Singapura.

“Kali pertama saya beraksi bersama beliau, saya berdoa itu bukan yang terakhir. Selepas itu saya dipelawa beberapa kali membuat persembahan bersama di Indonesia tapi rezeki tidak menyebelahi saya ketika itu.

“Kali ini saya tidak akan mensia-siakan peluang. Ramai pe­nyanyi muda yang bagus tetapi beliau tetap memilih saya,” katanya pada sidang media konsert di sebuah hotel di sini, semalam.

Dalam pada itu, penyanyi Je­rat Percintaan itu berkata, minat terhadap produser terkemuka itu mula bercambah apabila diper­kenalkan oleh komposer, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan ketika awal pembabitannya dalam arena seni suara 25 tahun lalu.

“Saya rakam semula lagu nyanyian asal Celine Dion, The Colour Of My Love dalam album kedua kerana itu lagu Foster yang paling saya minat.

“Suara saya waktu itu nyaring dan kecil, jadi memang boleh bawa lagu itu. Selepas itu, saya terus mengagumi Celine dan lagu-lagunya.

“Sebagai generasi yang membesar dengan lagu ciptaan Foster, walau sekejap persembahan itu, peluang ini sangat bermakna,” katanya.

Bercakap mengenai konsert anjuran Yayasan Prihatin Nasional, penyanyi Cindai itu bakal membawakan sebuah lagu ciptaan komposer terbabit dan sebuah lagi lagu popularnya.

“Berdiri sepentas dengan Foster adalah impian setiap artis. Bila tengok senarai artis turut serta dalam konsert ini, saya rasa sangat kecil.

“Saya belum dikenali di peringkat antarabangsa, saya hanya dikenali di Asia tapi saya percaya belum terlambat untuk dikenali di pentas dunia pada usia 44 tahun.

“Mengenai pemilihan lagu, perkara itu masih lagi dalam perbincangan. Saya ada beri senarai lagu dan menyerahkan soal pemilihan itu kepada pengurusan beliau,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN