PETALING JAYA: Selepas menyifatkan pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim terdapat kekurangan dari segi hala tuju ekonomi, sebaliknya Khairy Jamaluddin dilihat bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri berhubung tiada kesalahan jenayah dilakukan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika mengendalikan kes SRC International Sdn. Bhd. (SRC International).
Nada itu sedikit berbeza berbanding artikel disiarkan Fulcrum yang diterbitkan Yusof Ishak Institute (ISEAS) dengan hantaran Instagram Story bekas Menteri Kesihatan itu.
Menurut platform media sosialnya, Khairy menyifatkan penjelasan Anwar yang merupakan Presiden PKR adalah betul 100 peratus sebaliknya dalam artikel itu, beliau mempersoalkan hala tuju ekonomi yang sedang dibawa pentadbiran Perdana Menteri.
Tambah beliau, Anwar mesti terus menentang serangan terhadap badan kehakiman yang dilakukan oleh UMNO.
“PM adalah 100 peratus betul dalam menjelaskan perkara ini. Beliau mesti terus menentang serangan terhadap badan kehakiman yang dilakukan oleh UMNO. Kita tidak boleh membenarkan UMNO mencemarkan nama baik badan kehakiman negara,” katanya dalam akaun Instagram.
Terdahulu, Khairy memberikan pandangan bahawa kesukaran Anwar meraih sokongan Melayu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) lebih didorong rasa tidak puas hati rakyat terhadap pentadbirannya yang dilihat kurang dari segi hala tuju ekonomi, berbanding faktor ‘Gelombang Hijau’ dibawa Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, sepanjang tujuh bulan lalu sejak Anwar dilantik Perdana Menteri, jelas sekali terdapat kekurangan pada hala tuju ekonomi di mana ringgit terus melemah dan krisis kos sara hidup menghakis kuasa beli rakyat.
“Kemarahan Melayu yang ketara ini diperkuat dengan sikap hipokrit pentadbiran sekarang, yang bercakap tentang membasmi rasuah dan menegakkan tadbir urus yang baik, namun menanggung kepemimpinan UMNO yang tercemar.
“(Jadi) apa yang akan kita lihat pada PRN akan datang adalah sedikit sahaja disebabkan oleh ‘Gelombang Hijau’ berbanding tsunami ketidakpuasan hati,” katanya melalui artikel itu.
Semalam, Anwar di Dewan Negara memaklumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menemukan sebarang bukti kesalahan jenayah yang didakwa dilakukan Hakim Mohd Nazlan ketika mengendalikan kes SRC International membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kata Perdana Menteri, perkara itu diputuskan selepas SPRM menyiasat dan meneliti dakwaan itu.
Isu hubungan Khairy dengan PKR kian hangat diperkatakan selepas sepucuk surat kononnya mengenai tawaran menyertai parti itu dan jawatan Timbalan Presiden PKR secara lantikan semalam.
Sebaliknya Unit Komunikasi Media PKR menjelaskan surat yang menggunakan nama Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail itu adalah palsu semata-mata.
Ini berikutan Jumaat lalu, beliau hadir dalam perbincangan mengenai hala tuju ekonomi negara yang dipengerusikan Perdana Menteri sekali gus menimbulkan persoalan sama ada beliau memilih untuk bersama Kerajaan Perpaduan atau PKR.
Semalam Khairy juga memuat naik gambar bersama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali gus mencetuskan persoalan berkenaan masa depan politiknya. – UTUSAN










