Dr. Dzulkefly boleh putuskan guna ganja dalam rawatan - KJ

Dr. Dzulkefly boleh putuskan penggunaan ganja dalam rawatan di Malaysia – KJ

KHAIRY Jamaluddin (duduk, tengah) semasa menghadiri Persidangan Dewan Muda Johor 2023 di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Menteri Kesihatan baharu, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkuasa untuk menentukan sama ada keputusan meneruskan penggunaan ganja dalam bidang perubatan di negara ini akan diteruskan atau tidak.

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, banyak kajian telah dijalankan termasuklah oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung perkara tersebut sebelum ini.

Sehubungan itu katanya, Dr. Dzulkefly boleh merujuk kajian-kajian berkenaan sebelum membuat keputusan berhubung pelaksanaan perkara tersebut.

“Sudah banyak kajian dibuat termasuklah ketika saya jadi Menteri Kesihatan. Jadi, Dr. Dzulkefly boleh merujuk kajian-kajian itu yang dijalankan pelbagai pihak, termasuk KKM sendiri.

“Beliau seterusnya boleh buat keputusan sama ada perkara itu (ganja dalam perubatan) hendak diteruskan atau tidak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Persidangan Dewan Muda Johor 2023, di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita berhubung isu penggunaan ganja dalam bidang perubatan di negara ini.

Pada 25 Ogos tahun lalu, Khairy Jamaluddin sewaktu menjawat jawatan Menteri Kesihatan pada lawatan kerja di Bangkok, Thailand memaklumkan kerajaan akan mengambil pendirian berhubung penggunaan ganja dalam bidang perubatan sebelum akhir tahun lalu manakala dasarnya akan dilaksana tahun ini.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan bahawa penggunaan ganja bagi tujuan rekreasi tidak akan dibenarkan di negara ini.

Namun, perkara tersebut terhenti selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu yang menyaksikan kerajaan persekutuan baharu ditubuhkan.

Pada 9 Jun tahun lalu, Thailand menjadi negara rantau Asia Tenggara pertama yang membenarkan penanaman dan pemilikan kanabis untuk tujuan perubatan.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Thailand juga bertindak mengeluarkan kanabis yang mengandungi tidak melebihi 0.2 peratus tetrahydrocannabinol (THC) daripada senarai narkotik yang diharamkan.

Bagaimanapun, pemilikan kandungan yang diekstrak seperti minyak serta hidangan seperti makanan dan minuman mengandungi lebih daripada 0.2 peratus THC, masih diharamkan di Thailand.

THC adalah sebatian psikoaktif utama yang terdapat dalam ganja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya