ARAU: Hala tuju politik bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang menjadi ‘rebutan’ parti-parti politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) terus menjadi tanda-tanya sama ada beliau memilih Perikatan Nasional (PN) atau bersama Kerajaan Perpaduan.
Khairy sebelum itu dilaporkan bertemu Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pertemuan itu dipercayai mengenai tawaran menyertai parti berkenaan.
Bagaimanapun, kemungkinan Khairy menyertai PN turut menjadi polemik apabila bekas Menteri Kesihatan itu hadir dalam perbincangan mengenai hala tuju ekonomi negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Malah, turut kedengaran cadangan dan desas-desus agar Khairy dilantik menjadi senator seterusnya diberi peranan penting di dalam kementerian atau sebagai menteri khususnya berkaitan hal ehwal ekonomi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemerhati politik yang juga pensyarah Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, beliau melihat Khairy tidak akan menyertai mana-mana parti politik dalam masa terdekat.

Sebaliknya kata beliau, Khairy akan menunggu keputusan PRN sebelum menentukan hala tuju politiknya.
Katanya, keputusan menyertai PH pula dilihat sukar kerana bakal menimbulkan konflik dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di dalam Kerajaan Perpaduan itu.
Justeru katanya, pertemuan Khairy dengan Muhyiddin juga dilihat sangat penting bagi melihat apa tawaran yang boleh diberikan PN kepada Khairy sekali gus menjadi faktor membuat keputusan penting tersebut.
“Bagi tawaran senator atau menteri oleh PH jika ada, saya melihat KJ (Khairy) tidak akan mudah untuk terima dan bersama Ahmad Zahid di dalam kerajaan yang sama.
“Kalau kita ikuti popcast keluar sekejap KJ dan Shahril Hamdan, dilihat mereka lebih mengambil jalan tengah sebagai pemerhati politik.
“Meskipun KJ pernah kata dia adalah orang politik sama atau dalam masa terdekat atau kemudian sudah tentu akan kembali semua ke gelanggang politik namun saya rasa bukan dalam masa terdekat,” katanya.-UTUSAN










