PRN: KJ bersama atau tidak, PN optimis tawan 6 negeri - Wan Saiful - Utusan Malaysia

PRN: KJ bersama atau tidak, PN optimis tawan 6 negeri – Wan Saiful

WAN SAIFUL Wan Jan (dua dari kiri) ketika menziarahi seorang pesakit kencing manis di Sungai Dua, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Perikatan Nasional (PN) optimis mampu menawan enam negeri termasuk Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang meskipun bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin tidak menyertai parti itu.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pihaknya amat berharap Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau menyertai PN memandangkan tawaran yang dibuat oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu turut mendapat sokongan penuh ahli parti tersebut.

“Sekarang keputusannya di pihak Khairy, sudah tentu saya sebagai orang yang sudah lama mengikuti ketokohannya mengharapkan beliau boleh bersama dengan kita (PN).

“Meskipun begitu, beliau bersama dengan kita atau tidak, kita tetap akan menang dalam PRN di enam negeri nanti.

“Ia sama ada anda (Khairy) mahu menyertai kumpulan kita, atau mahu ditinggalkan daripada kumpulan, itu pilihan beliau, tetapi kita berharap Khairy mahu menyertai kumpulan kita,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke rumah seorang pesakit kencing manis dekat Sungai Dua, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor menambah, setakat ini tiada perkembangan lanjut mengenai keputusan pelawaan tersebut dan kata sepakat kini terletak di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi dan Khairy.

“Setakat ini belum ada apa-apa perkembangan lagi, tapi Tan Sri (Muhyiddin) ada memberikan penjelasan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi tentang perbincangan beliau, (dan) saya rasa biar perbincangan itu antara mereka.

“Malah, Majlis (Pimpinan Tertinggi) memang setuju sepenuhnya dengan apa yang disuarakan oleh Tan Sri (Muhyiddin),” katanya.

Baru-baru ini, Khairy menerusi podcast ‘Keluar Sekejap’ yang dikendalikannya menyatakan akan mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin berhubung pelawaan menjadi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bagaimanapun, beliau yang juga bekas Menteri Kesihatan turut menjelaskan memerlukan sedikit masa untuk berbuat demikian meskipun mengakui sudah mempunyai jawapan berhubung pelawaan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya