JERANTUT: Seorang bekas Ahli Parlimen selama dua penggal terkejut dan kesal susulan penularan sebuah poster yang mengaitkan dirinya dicalonkan semula sebagai Ahli Parlimen Jerantut pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Bekas wakil rakyat itu, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, beliau hanya mengetahui tentang poster tersebut selepas dihubungi beberapa rakan serta pengamal media sejak pagi hari ini.
“Poster yang memaparkan logo UMNO itu turut mengandungi kenyataan bahawa beliau bakal dicalonkan semula di Parlimen Jerantut, sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi.
“Saya terkejut apabila dimaklumkan tentang poster itu dan bimbang ia disalah tafsir oleh pelbagai pihak,” katanya ketika dihubungi di sini. Ahmad Nazlan berharap poster berkenaan dapat dipadamkan segera di mana-mana media sosial bagi menjaga hati semua pihak serta mengelakkan sebarang salah faham yang boleh menjejaskan keharmonian, khususnya dalam kalangan ahli UMNO di daerah ini.
Katanya, penularan poster tersebut berpotensi menimbulkan persepsi tidak tepat dan secara tidak langsung boleh melagakan dirinya dengan kepimpinan serta ahli UMNO Bahagian Jerantut yang disifatkannya sebagai rakan-rakan seperjuangan. – UTUSAN










