RAMALLAH: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengarahkan perintah berkurung dilaksanakan di Tebing Barat yang diduduki beberapa hari sebelum pilihan raya Israel berlangsung pada hujung bulan ini.
Netanyahu, yang berdepan persaingan sengit untuk mendapatkan penggal baharu dalam pilihan raya Selasa ini berkata, tentera Israel berjaya menghalang serangan besar yang mungkin berlaku.
Ini kerana pasukan Israel telah menembak kedua-dua penyerang dipercayai membawa sejumlah besar peluru di dalam kenderaan mereka di Tebing Barat.
Wartawan AFP yang menyaksikan pertempuran itu melihat dua lelaki Palestin bersenjatakan sepucuk pistol dan senapang automatik berbalas tembakan dengan pasukan Israel di pusat pemeriksaan Farsh al-Hawa, berhampiran bandar Hebron di Palestin.
Pasukan Israel akhirnya menembak mati kedua-dua penyerang.
Wartawan AFP melihat jenazah kedua-dua lelaki itu terbaring di atas tanah berhampiran sebuah stesen minyak ketika tentera berkawal di sekeliling kawasan itu.
Tentera Israel berkata, anggota tenteranya bergegas ke kawasan persimpangan Judea selepas serangan tembakan pada awal pagi.
Perkhidmatan perubatan kecemasan Israel, Magen David Adom berkata, serangan itu mencederakan lima orang, dengan dua daripada mereka berada dalam keadaan kritikal.
Menurut perkhidmatan itu, kesemua mangsa ialah warga Israel berusia lingkungan 20-an, termasuk seorang lelaki yang berada dalam keadaan sangat serius akibat luka tembakan.
Dengan hari pengundian semakin hampir, Netanyahu mengarahkan semua pertemuan politik parti Likud dibatalkan pada Jumaat berikutan serangan itu.- AGENSI/AFP











