Operasi SAR Muhammad Hawari ditamatkan, sambung tahun depan

Operasi SAR Muhammad Hawari ditamatkan, sambung tahun depan

AZIM Afif Ishak pada sidang akhbar mengenai perkembangan terkini misi mencari dan menyelamat Muhammad Hawari di Kathmandu, Nepal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Misi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023), Muhammad Hawari Hashim, 33, ditamatkan secara rasmi hari ini dan akan disambung semula tahun depan.

Ketua Misi ME2023, Azim Afif Ishak berkata, SAR itu dijangka disambung pada musim pendakian 2024, namun ia akan dibincangkan terlebih dahulu dengan pihak berkaitan.

Beliau berkata, buat masa ini, status Muhammad Hawari diletakkan sebagai ‘orang hilang’ kerana jasadnya masih belum ditemukan sehingga kini.

“Penamatan operasi SAR ini juga sudah dibincangkan dan mendapat nasihat daripada pihak kedutaan Malaysia di Nepal.

“Operator pengendali aktiviti pendakian ke puncak Everest di Nepal turut menyarankan agar operasi SAR ini ditangguhkan demi keselamatan pasukan SAR dan faktor cuaca yang tidak menentu ketika ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kata beliau, pihaknya sudah menjalankan operasi SAR sejak 19 Mei lalu, namun tiada sebarang petunjuk ditemukan.

Azim berkata, permit khas pencarian menggunakan dron dan SAR udara yang diluluskan pihak berkuasa Nepal juga sudah tamat dan aktiviti pendakian ke puncak Everest sudah ditutup bermula 29 Mei lalu.

Menurutnya, operasi SAR yang diadakan semalam (Khamis) turut mengesan satu objek antara Kem Dua dan Kem Tiga, namun selepas dikenal pasti ia hanyalah longgokan sampah dan khemah yang diterbangkan angin.

“Objek berkenaan dikesan melalui gambar dan video yang dirakam dron pada 8 Jun lalu menunjukkan seperti jasad Muhammad Hawari berdasarkan warna sut yang digunakan ketika misi pendakian, namun sengaja tidak mendedahkannya kerana ia masih belum disahkan lagi,” katanya.

Katanya, tiga malim gunung bersama seorang jurugambar yang ditugaskan ke lokasi itu menjumpai objek itu dan mengesahkan ia bukan jasad Muhammad Hawari.

Misi pendakian ME2023 ini dikendalikan oleh syarikat Pioneer Adventure yang berpusat di Nepal dengan menyediakan tenaga malim gunung, logistik dan makanan sepanjang misi ke puncak Everest.

Sebelum ini, kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menghulurkan bantuan kewangan sebanyak RM1.48 juta, manakala Kerajaan Pulau Pinang turut menyumbang RM500,000 kepada Kelab Eksplorasi Altitud bagi operasi SAR Muhammad Hawari.

Selain itu, Azim berkata, operasi SAR terakhir yang diadakan semalam sepatutnya dilakukan pada Selasa minggu lalu, namun, ditangguhkan akibat cuaca buruk dan helikopter tidak dapat masuk ke lokasi carian.

Muhammad Hawari dilaporkan hilang sejak 19 Mei lalu selepas keluar meninggalkan Kem Empat pada aras ketinggian 8,000 meter dari aras laut.

Sehari sebelum itu pada pukul 3.30 petang waktu Nepal Muhammad Hawari dilaporkan berjaya menawan puncak Everest. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya