Rakaman 'camera trap' jadi petunjuk untuk pasukan SAR

Rakaman ‘camera trap’ jadi petunjuk untuk pasukan SAR

PASUKAN SAR memulakan operasi mengesan enam individu yang dilaporkan hilang selepas menyertai aktiviti pendakian di Gunung Trans Gerah (Trans GGB) di Lojing, Gua Musang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) akan mendapatkan rakaman kamera perangkap (camera trap) di sepanjang jalur pendakian bagi mengesan enam individu yang dilaporkan hilang selepas menyertai aktiviti pendakian Gunung Trans Gerah (Trans GBB) di Lojing, Gua Musang.

Rakaman tersebut dijangka membantu pasukan SAR mengenal pasti pergerakan enam individu tersebut selain memberi petunjuk mengenai laluan yang mungkin dilalui mereka.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan mendapatkan khidmat Team Pelindung untuk mengambil rakaman kamera berkenaan.

“Rakaman kamera perangkap yang dipasang di sepanjang laluan pendakian itu akan diambil mulai esok” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sayani berkata, pasukan SAR membabitkan bomba, polis, Jabatan Perhutanan Perak dan Malim Gunung Perhutanan (MGP) akan memasuki laluan pendakian dari Kampung Lelar, Pos Kemar menuju ke lokasi terakhir mangsa diketahui berada.

Katanya, bagi melancarkan operasi, pasukan polis akan memohon bantuan keanggotaan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA), selain mendapatkan tambahan peralatan komunikasi.

“PDRM turut akan menyertai operasi di lapangan dengan kekuatan anggota serta persenjataan bagi memastikan keselamatan pasukan SAR sepanjang menjalankan operasi di kawasan berkenaan,” katanya.

Menurut Sayani, operasi SAR hari ini digerakkan membabitkan 25 anggota JBPM, 10 anggota Jabatan Perhutanan Perak, lapan MGP Kelantan, enam MGP Perak dan 10 MGP daripada komuniti Orang Asli Pos Kemar.

Katanya, dalam operasi itu, pasukan JBPM memasuki Pos Kemar melalui Jeti Trojan, Tasik Banding, manakala MGP pula memasuki kawasan berkenaan melalui Pos Bawong, Sungai Siput dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

“Bagi tinjauan udara, pesawat JBPM jenis Mi-17 dari Pengkalan Udara Subang dijangka tiba di Pos Kemar pada pukul 3 petang hari ini selepas menjalankan tinjauan udara bermula pukul 2 petang di sekitar laluan pendakian Gunung Sepat dan Gunung Belatoh,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, enam individu termasuk empat sekeluarga yang melakukan pendakian merentas tiga puncak gunung iaitu Gerah, Bilah dan Bieh (Trans GGB) dikhuatiri hilang selepas gagal keluar mengikut jadual di Pos Kemar pada 3 September lalu.

Enam individu terbabit ialah dua malim gunung, Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, serta empat sekeluarga iaitu Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, isterinya, Siti Zulaiha Norizan, 39, dan dua anak mereka, Diya Raisha, 13, serta Ahmad Raef, 9. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×