Pencarian enam individu hilang di Gunung Trans Gerah digiatkan hari ini

Pencarian enam individu hilang di Gunung Trans Gerah digiatkan hari ini

SAYANI SAIDON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam individu yang hilang ketika menyertai ekspedisi Gunung Trans Gerah di Gua Musang, Kelantan digerakkan dari darat, air dan udara di sekitar Pos Kemar hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, tiga bot bomba kini bersiap sedia di Jeti Temenggor untuk membawa lapan anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) serta lima anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung (MOSAR) ke Pos Kemar.

“Pada masa sama, seramai 12 Malim Gunung Perhutanan (MGP) turut digerakkan dari Sungai Siput ke Pos Kemar melalui jalan darat menggunakan kenderaan pacuan empat roda, pagi tadi.

“Perjalanan pasukan MGP itu dijangka mengambil masa kira-kira empat jam untuk tiba di Pos Kemar. Kesemua anggota pasukan penyelamat dan MGP akan berkumpul di Pos Kemar terlebih dahulu sebelum SAR digerakkan bagi mengesan mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Sayani, bagi pencarian melalui udara, Unit Udara JBPM dijadualkan bergerak dari Bertam, Pulau Pinang pada pukul 2 petang hari ini untuk menjalankan tinjauan di kawasan terbabit.

Katanya, tinjauan udara itu akan bermula dari lokasi terakhir mangsa ditemui pada 1 September lalu sebelum menyusuri kawasan berkenaan hingga ke Pos Kemar sebagai gerak kerja awal operasi SAR.

“Selain itu, pasukan Unit Anjing Pengesan (K9) bomba telah tiba pagi tadi dan kini berada dalam keadaan siap sedia sekiranya diperlukan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.

“Buat masa ini, kita masih belum mempunyai perancangan yang jelas untuk menggerakkan pasukan K9.

“Jadi, kami hanya menggerakkan pasukan STORM dan MOSAR terlebih dahulu manakala K9 akan digerakkan selepas kami memperoleh maklumat dan perancangan operasi yang lebih jelas,” katanya.

Tambah Sayani, operasi SAR mengesan empat beranak dan dua malim gunung itu juga disertai pasukan polis, Jabatan Perhutanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Buat masa ini, mesyuarat antara agensi masih berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik bagi merangka gerak kerja operasi SAR untuk mengesan enam mangsa yang masih hilang,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, enam individu termasuk empat sekeluarga dikhuatiri hilang selepas gagal keluar dari kawasan hutan mengikut jadual pada 3 September lalu.

Enam individu terbabit ialah dua malim gunung, Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, serta empat sekeluarga iaitu Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, isterinya, Siti Zulaiha Norizan, 39, dan dua anak mereka, Diya Raisha, 13, serta Ahmad Raef, 9. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×