Perak terima royalti RM1.66 juta hasil perlombongan lantanid - Utusan Malaysia

Perak terima royalti RM1.66 juta hasil perlombongan lantanid

SAARANI Mohamad pada Persidangan DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajan Perak telah menerima bayaran royalti sebanyak RM1.66 juta hasil perlombongan nadir bumi lantanid di Mukim Kenering di Hulu Perak pada Februari lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bayaran yang dibuat itu adalah bagi pengeksportan pertama nadir bumi karbonat (REC) sebanyak 296.2 tan metrik.

“Sehingga kini, sebanyak 4,477.039 tan metrik REC telah dieksport ke China melalui empat penghantaran iaitu pada Februari, Mac dan April 2023 dengan baki REC di tapak adalah kira-kira 1,000 tan metrik.

“Pihak penggerak projek juga telah menjelaskan bayaran royalti sebanyak RM1,658,425.51 bagi pengeksportan pertama REC sebanyak 296.1945 tan metrik pada bulan Februari 2023,” katanya ketika menjawab soalan lisan Goh See Hua (PH-Pasir Pinji) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Menurut Saarani, projek perintis unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) telah bermula pada Oktober lalu setelah memperoleh kelulusan dari segi perundangan daripada agensi-agensi teknikal dan kebenaran beroperasi daripada pihak berkuasa negeri.

Katanya, operasi itu sedang dijalankan di atas kawasan berkeluasan 87.4 hektar di mana melibatkan operasi pengekstrakan NR-REE menggunakan kaedah in-situ leaching (ISL) dan pemprosesan bagi menghasilkan produk akhir lombong iaitu REC.

“Memahami kegusaran mengenai kemungkinan pelepasan unsur radioaktif, ingin saya jelaskan bahawa perlombongan NR-REE tidak akan menghasilkan bahan radioaktif.

“Ini kerana tahap kepekatan radioaktiviti semula jadinya tidak melebihi 1.0 Bq/g atau masing-masing 246.5 ppm torium atau 80.9 ppm uranium atau 10 Bq/g kalium sebagaimana ditetapkan di bawah Jadual Kedua Peraturan Pelesenan Tenaga Atom (Pengurusan Sisa Radioaktif) 2011,” katanya.

Tambah beliau, terdapat dua jawatankuasa yang dibentuk bagi tujuan pelaksanaan projek perintis NR-REE di negeri ini sekali gus memastikan pelaksanaan aktiviti perlombongan itu akan menepati dasar, peraturan dan garis panduan yang ditetapkan selain mengawal selia dan memantau pelaksanaannya.

Katanya, jawatankuasa itu adalah Jawatankuasa Bersama Pembangunan Industri NR-REE Negeri Perak dan Jawatankuasa Teknikal Projek Perintis NR REE Negeri Perak.

“Kerajaan negeri berpandangan bahawa kedua-dua jawatankuasa ini telah memainkan peranan utama dalam memastikan pelaksanaan projek perlombongan NR-REE dijalankan secara telus dan berintegriti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya