PETALING JAYA: Kerajaan digesa merombak dan menarik semula kuasa Jabatan Imigresen yang diberikan terlalu banyak kuasa menguruskan warga asing tetapi didakwa gagal menyelia kumpulan tersebut yang kini membanjiri negara ini.
Sebaliknya, satu sumber agensi perisikan yang ditemui Utusan Malaysia mencadangkan supaya jabatan tersebut diletakkan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Punca kuasanya adalah Jabatan Imigresen. Jadi adalah dicadangkan agar kuasa jabatan itu ditarik semula kerana jabatan itu boleh mengatasi (overrule) segala undang-undang, ini tak boleh dibiarkan berlaku. Kuasa jabatan itu sangat besar, cuba semak semula akta mereka.
“Kemudian, letakkan imigresen di bawah PDRM seperti negara lain. Kebanyakan negara seperti Thailand dan Indonesia meletakkan jabatan itu di bawah PDRM. Barulah ada kesinambungan kawal selia yang komprehensif dan bersepadu di bawah satu pnca kuasa iaitu PDRM,” kata sumber.
Utusan Malaysia semalam melaporkan daripada 800,000 warga Bangladesh yang menetap di negara ini sewaktu pandemik Covid-19 pada 2020, sejumlah 200,000 tidak memiliki sebarang dokumen.
Malah, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad yang dihubungi akhbar ini kelmarin mendedahkan, terdapat kemungkinan 200,000 pekerja Bangladesh tanpa dokumen sah itu terdiri daripada golongan melakukan pelbagai kesalahan berkaitan keimigresenan.
Sumber itu menambah, sebagai jabatan yang bertanggungjawab mempertahankan benteng negara dari bolos kepada warga asing, Jabatan Imigresen didakwa gagal menjalankan fungsinya apabila isu warga asing sentiasa berlegar dan tidak pernah diselesaikan secara tuntas dan menyeluruh.
“Punca kuasa bagi isu warga asing ini adalah Jabatan Imigresen kerana mereka adalah benteng pertama negara bagi menyelia kemasukan imigran. Sementara PDRM cuma bertanggungjawab apabila warga asing sudah masuk ke Malaysia.
“Jabatan Imigresen bertanggungjawab terhadap kemasukan warga asing, tapi tak menyelia pula bila mereka akan keluar? Malah, tidak cari warga-warga asing yang masih di dalam negara dan tidak keluar-keluar. Itu pertama.
“Kedua, isu birokrasi. Ini jelas apabila terdapat ejen-ejen yang dilantik untuk membawa masuk warga asing ke negara ini sudah tutup syarikat.Jadi siapakah yang mahu menguruskan warga asing yang dibawa masuk,” kata sumber.
Untuk rekod, Jabatan Imigresen berkuasa melaksanakan Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Akta Pasport 1966 (Akta 150) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Jabatan itu juga diberi kuasa menguatkuasakan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
Dengan kuasa yang diamanahkan, jabatan tersebut boleh melaksanakan operasi dan tangkapan, menjalankan siasatan, melaksanakan pendakwaan, mengutip kompaun dan pengusiran serta melakukan penghantaran pulang tahanan.
Mengulas lanjut, sumber mendakwa, budaya rasuah dikesan berlaku dalam Jabatan Imigresen susulan sistem birokrasinya yang menyekat perkembangan kerjaya para pegawai di jabatan tersebut.
“Kakitangan Jabatan Imigresen ini di bawah gred gaji M41, manakala jawatan di jabatan itu selepas gred M41 hanya akan diisi oleh Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD).
“Ini menyekat perkembangan kerjaya kakitangan di jabatan itu, sebab itulah mereka terdorong songlap dan melakukan rasuah,” dakwa sumber.
Utusan Malaysia menghubungi Ketua Pengarah Jabatan Imigresen untuk mendapatkan maklum balas tetapi gagal. – UTUSAN










