Bekas hakim, kontraktor gagal tuntut wang dirampas SPRM - Utusan Malaysia

Bekas hakim, kontraktor gagal tuntut wang dirampas SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi menolak rayuan dikemukakan bekas Hakim Mahkamah Sesyen, Azmil Muntapha Abas dan seorang ahli perniagaan bagi mendapatkan semula wang dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjumlah RM182,100 empat tahun lalu.

Rayuan tersebut diputuskan Pesuruhjaya Kehakiman, Dr. Wendy Ooi Su Ghee, 10 April lalu selepas meneliti petisyen dan afidavit daripada Azmil Muntapha, 48, dan Leong Peng Woon, 67, serta penghakiman dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Rozilah Saleh pada 23 November 2021.

Wendy Ooi dalam alasan penghakimannya memaklumkan, tiada kekhilafan dilakukan oleh Hakim Mahkamah Sesyen yang membenarkan permohonan pihak pendakwa raya di bawah Seksyen 41, Akta SPRM 2009.

Keputusan tersebut dibuat selepas beliau mendapati alasan perayu dalam petisyennya sebagaimana dinyatakan dalam perenggan 15(iv) yang menyebut ‘kegagalan hakim untuk mempertimbangkan sebarang pengambilan harta oleh pihak berkuasa mestilah menurut undang-undang di bawah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan’ adalah tidak bermerit.

Malah, alasan dalam perenggan 17(iv) dan 17(vii) yang menyebut ‘hakim gagal mengambil kira sebarang pengambilan harta oleh pihak berkuasa mestilah menurut undang-undang di bawah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan dan kewujudan Perjanjian Pinjaman Persahabatan bertarikh 11 Jun 2019’ juga tidak bermerit.

Selain itu, Azmil Muntapha sebagai responden dalam rayuan tersebut memberi keterangan namun tidak menafikan keterangan pendakwa raya wang tersebut diperoleh daripada hasil berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) akta sama.

“Responden Azmil Muntapha sama sekali tidak mempertikaikan atau menafikan kesalahan predikat di bawah seksyen tersebut di dalam Afidavit Balasannya. Kegagalan tersebut disifatkan sebagai suatu pengakuan tentang fakta yang ditegaskan oleh pendakwa raya.

“Dalam pada itu, hakim bicara (Rozilah) tidak terkhilaf apabila memutuskan kegagalan pihak responden (Azmil Muntapha) dalam menyangkal isu tersebut adalah disifatkan sebagai suatu pengakuan oleh responden,” katanya.

Jelasnya, Azmil Muntapha diberi peluang sebanyak lima kali untuk menyangkal penegasan pihak pendakwaan, malangnya beliau gagal berbuat demikian.

Dalam alasan sama, Wendy ooi turut berpendapat perayu Azmil Muntapha dan Peng Woon juga gagal membuktikan kebarangkalian RM182,100 adalah wang pinjaman di bawah Perjanjian-Perjanjian Pinjaman yang dibuat pada 11 dan 19 Jun 2019.

“Pendakwa raya mengemukakan surat pengesahan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bertarikh 11 Ogos 2020 yang mengesahkan tiada Perjanjian- Perjanjian Pinjaman tersebut disetem dan direkodkan di Pusat Setem Cawangan Petaling Jaya,” jelasnya.

Terdahulu, SPRM memohon melucutkan wang tunai berjumlah RM182,100 kepada kerajaan selepas disita daripada Azmil Muntapha dekat pejabatnya ketika menjadi Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu pada 22 dan 26 Julai 2019.

Wang tersebut didakwa diperolehi daripada Peng Woon yang merupakan seorang kontraktor melalui pinjaman berjumlah RM200,000 bagi membeli sebuah rumah lelong di Hulu Selangor.

Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Amirah Muhammad Ali dan Maziah Mohaide sementara kedua-dua perayu, Azmil Muntapha dan Peng Woon diwakili peguam Ahmad Hazrin Abdul Rahman serta Awang Armadajaya Awang Mahmod dan Hasshahari Johari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya