Pulau Pinang, IWK kerjasama kaji kitar air kumbahan - Utusan Malaysia

Pulau Pinang, IWK kerjasama kaji kitar air kumbahan

K. PATHMANATHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) akan bekerjasama dengan Indah Water Konsortium (IWK) untuk mengkaji aspek daya maju projek kitar semula air kumbahan bagi kegunaan semula industri di Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. Pathmanathan berkata, untuk tujuan itu satu memorandum persefahaman (MoU) antara PBAPP dan IWK telah ditandatangani di ibu pejabat IWK di Kuala Lumpur, semalam.

Katanya, MoU itu untuk meneroka daya maju projek kitar semula air kumbahan terawat dari tiga loji rawatan kumbahan (STP) IWK sedia ada di Pulau Pinang yang kini dilepaskan ke laut.

”PBAPP membincangkan kemungkinan mengitar air untuk kegunaan semula industri dengan IWK bermula pada April tahun lalu dan sejak itu, kami telah mengenal pasti tiga STP yang terletak di Bayan Baru, George Town dan Mak Mandin untuk kajian mendalam.

”Gabungan pelepasan air kumbahan terawat daripada tiga STP ini dianggarkan sebanyak 260 juta liter sehari (JLH),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, tiga STP yang dikenal pasti itu dipilih berdasarkan tiga kriteria utama iaitu lokasi yang strategik; potensi hasil (isipadu output air kitar semula) dan kedekatan relatif dengan bakal pengguna kategori bukan domestik.

Tambahnya, cabaran terbesar Pulau Pinang sekarang ialah kekurangan sumber air mentah kerana negeri itu mempunyai keluasan tanah terhad iaitu seluas 1,049 kilometer (km) persegi.

”Cadangan kitar semula air ini mencerminkan komitmen PBAPP untuk merancang lebih awal demi kebaikan negeri dan rakyatnya.

”Jika ia berdaya maju, projek kitar semula air di Pulau Pinang akan menyokong pencapaian visi Penang2030 di samping mengurangkan lagi risiko kekurangan air ketika musim kemarau yang berpanjangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya