PUTRAJAYA: Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 atau PeKa B40 akan dijenamakan semula sebagai PeKa Sihat.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, penjenamaan semula program itu bagi meningkatkan keberkesanannya dalam menangani penyakit tidak berjangkit (NCD).
“Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keberkesanan program berkenaan dalam membantu menangani masalah penyakit tidak berjangkit.
“Beberapa perkara sedang diselaraskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan pelaksanaan program berkenaan dapat dipertingkatkan.
“Perkara yang sedang diselaras termasuk mengurangkan kesesakan di klinik-klinik kesihatan dengan mengguna pakai premis-premis ataupun klinik-klinik yang terlibat dalam program PeKa B40,” katanya.
Katanya, langkah itu dijangka menjadi antara pendekatan yang diteliti dalam usaha meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kesihatan menerusi program berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, maklumat lanjut mengenai pindaan, kaedah pelaksanaan serta perubahan yang bakal diperkenalkan menerusi penjenamaan semula kepada PeKa Sihat akan diumumkan KKM kelak.
PeKa B40 adalah inisiatif kerajaan melalui KKM yang bertujuan menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah dengan memberi tumpuan kepada penyakit tidak berjangkit (NCD).
PeKa B40 ditawarkan kepada warganegara Malaysia dalam kumpulan B40.
Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan pasangan mereka yang berumur 40 tahun ke atas secara automatik layak menerima PeKa B40. – UTUSAN











