GEORGE TOWN : Pulau Pinang perlu mempelbagaikan sumber bekalan air mentah bagi mengurangkan kebergantungan kepada Sungai Muda yang terdedah kepada risiko perubahan iklim, cuaca kering dan gangguan bekalan.
Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K. Pathmanathan berkata, pihaknya sedang merancang penyelesaian air hibrid bagi dekad 2030-an untuk memperkukuh jaminan bekalan air negeri itu.
Beliau berkata, pendekatan tersebut merangkumi tiga komponen utama iaitu projek air Perak-Pulau Pinang, projek penyahgaraman di lokasi strategik serta skim takungan air pinggiran sungai sebagai sumber sokongan.
“Projek air Perak-Pulau Pinang berpotensi membekalkan antara 300 hingga 500 juta liter sehari (JLH) sekali gus meneroka sumber air mentah kedua bagi memenuhi keperluan masa hadapan.
“Projek ini juga bertujuan memastikan kecukupan bekalan air bagi menyokong pertumbuhan di Seberang Perai Selatan (SPS) dan Seberang Perai Tengah (SPT), selain mengurangkan risiko gangguan berkaitan Sungai Muda yang boleh menjejaskan penduduk serta sektor perindustrian,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, komponen kedua ialah projek penyahgaraman di lokasi strategik yang berpotensi menghasilkan antara 200 hingga 300 JLH dengan memanfaatkan air laut sebagai sumber alternatif untuk menghasilkan air terawat.
Pathmanathan berkata, kepelbagaian sumber air itu penting bagi meningkatkan daya tahan sistem bekalan air Pulau Pinang ketika berdepan perubahan iklim yang menjejaskan taburan hujan di kawasan tadahan air termasuk Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan PBAPP terpaksa melaksanakan program Double Dam Defence on Penang Island (D3PI) sepanjang 2025 dan 2026 bagi menangani cabaran bekalan air di pulau berkenaan.
“Pada 2025, lebih 80 peratus air terawat yang dibekalkan PBAPP di Pulau Pinang dihasilkan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di Seberang Perai Utara (SPU), yang sumber air mentah utamanya ialah Sungai Muda.
“Kebergantungan itu turut mendedahkan Pulau Pinang kepada risiko gangguan apabila tiga insiden berkaitan Sungai Muda yang berpunca dari Kedah pada 2022 dan 2023 menjejaskan antara 465,000 hingga 660,000 pengguna air di negeri ini,” katanya.
Pathmanathan berkata, PBAPP kemudian melaksanakan langkah mitigasi bagi mengelakkan tiga lagi kejadian pada 2024 dan 2025 daripada menjejaskan bekalan.
Bagaimanapun, katanya, Sungai Muda akan terus menjadi sumber air mentah utama Pulau Pinang manakala pelaksanaan Penyelesaian Air Hibrid Pulau Pinang bagi Dekad 2030-an dijangka menjadi langkah seterusnya selepas sasaran menyiapkan projek WCP 2030 menjelang 2030 atau 2031.-UTUSAN











