Isu ketelusan agihan royalti, RIM tepis dakwaan KARYAWAN - Utusan Malaysia

Isu ketelusan agihan royalti, RIM tepis dakwaan KARYAWAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) tampil memperincikan fakta sebenar berhubung isu kutipan dan agihan royalti yang dibangkitkan Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), baru-baru ini.

RIM berkata walaupun industri muzik mencatatkan hasil tertinggi dalam sejarah pada tahun lalu, namun agihan royalti kepada setiap individu bergantung sepenuhnya kepada prestasi lagu, kontrak dan pendaftaran dengan Badan Pengurusan Kolektif (CMO).

“Pencipta karya yang memperoleh jumlah strim tinggi sememangnya akan menerima bahagian lebih besar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pendapatan rendah bagi segelintir pihak tidak menafikan hakikat bahawa pencipta muzik Malaysia kini secara keseluruhannya memperoleh lebih banyak royalti berbanding sebelum ini menerusi platform digital dan CMO.

“Dakwaan mengenai pembayaran lewat atau tidak jelas tanpa mengenal pasti pihak mana yang bertanggungjawab sama ada syarikat rakaman atau CMO hanya menyebarkan tanggapan salah bahawa seluruh industri mempunyai masalah akauntabiliti,” kongsinya menerusi satu kenyataan.

Menyentuh isu ketelusan, RIM menyelar kenyataan KARYAWAN yang menggesa CMO menerbitkan laporan audit.

Tegas RIM, laporan terperinci sehingga ke unit sen sebenarnya telah pun diserahkan kepada ahli setiap kali agihan dibuat.

RIM turut menyeru KARYAWAN supaya lebih proaktif dengan mendedahkan senarai keahlian mereka bagi membolehkan CMO mengenal pasti sekiranya ada artis yang layak tetapi masih belum berdaftar untuk menerima royalti.

Mengenai usaha membawa muzik tempatan ke peringkat global, RIM tidak bersetuju dengan pandangan KARYAWAN yang seolah-olah memperlekehkan aspirasi antarabangsa dengan alasan usaha itu telah lama bermula.

RIM menyenaraikan kejayaan deretan bintang tempatan seperti Yuna, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Fish Leong, Shila Amzah, Firdhaus dan Mugen Rao yang telah pun membuktikan bakat Malaysia mampu menembusi pasaran luar negara yang kompetitif.

“Mengabaikan kejayaan ini adalah satu tindakan yang tidak menghargai pencapaian artis itu sendiri.

“Pelaburan tambahan menerusi Dana Eksport Muzik Malaysia amat diperlukan sekarang memandangkan landskap industri telah berubah drastik dengan pertumbuhan penstriman digital.

“Kita tidak boleh meletakkan pelaburan dan akauntabiliti sebagai dua perkara yang bertentangan. Kedua-duanya adalah nadi untuk membina industri muzik yang mampan untuk jangka panjang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini