LUMUT: Seorang lelaki terkilan apabila gagal menyelamatkan dua anak perempuannya yang terperangkap dalam kebakaran membabitkan dua buah rumah di Kampung Koh, Sitiawan hari ini.
Bapa mangsa yang mahu dikenali sebagai Kiong berusia lingkungan 50 tahun berkata, dia bukan sahaja cuba membuka pintu rumah malah nekad merempuh masuk ketika api sedang marak.
“Saya dan isteri keluar sarapan di luar dan ketika pulang kami terkejut lihat rumah sedang terbakar.
“Saya cuba menyelamatkan kedua-dua anak tapi tidak berjaya. Keadaan ketika itu sangat panas menyebabkan usaha membawa keluar mereka gagal,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Menurut Kiong, mereka sekeluarga tinggal di rumah berkenaan bersama abangnya, namun lelaki terbabit tiada di rumah kerana keluar bekerja ketika kebakaran berlaku.
Katanya, mayat kedua-dua anaknya ditemukan oleh pasukan penyelamat di lokasi berbeza, masing-masing di tingkat atas dan bawah rumah.
“Sebelum saya dan isteri keluar untuk sarapan, dua anak perempuan kami sedang tidur di bilik di tingkat atas rumah. Kami berdua tidak tahu apa punca menyebabkan kebakaran itu berlaku.
“Saya dan isteri sedih kerana gagal menyelamatkan mereka. Kami cuma dapat melihat api marak sambil menunggu pasukan bomba untuk memadam kebakaran,” katanya.
Dalam kejadian sekitar pukul 9 pagi tadi, dua beradik perempuan, Kiong Lee Yi, 19, dan Kiong Bao Yi, 14, ditemukan meninggal dunia selepas terperangkap dalam kebakaran membabitkan dua buah rumah.
Kebakaran yang memusnahkan kira-kira 90 peratus struktur rumah itu turut melibatkan empat kenderaan iaitu dua kereta Proton Saga, sebuah Proton Perdana dan sebuah motosikal. – UTUSAN











