Pelaksanaan HSR perlu dirancang semula - Anthony Loke - Utusan Malaysia

Pelaksanaan HSR perlu dirancang semula – Anthony Loke

HSR
ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Projek pembinaan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur – Johor Bahru – Singapura perlu lalui proses perancangan semula apabila kerajaan memutuskan untuk tidak membiayainya.

Ini kerana, projek tersebut perlu dilaksanakan sepenuhnya oleh mana-mana syarikat swasta yang berminat sebelum ditawarkan untuk mengoperasikannya secara konsesi termasuk pegangan sebagai pengendali dalam tempoh jangka panjang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sehingga kini kementeriannya belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada mana-mana pihak untuk melaksanakannya, namun sudah mengadakan perbincangan berhubung projek tertangguh itu.

“Memang saya tahu ada syarikat swasta, yang secara tidak rasmi berbincang dengan kita (ada), tetapi setakat ini permohonan rasmi belum ada lagi.

“Sudah tentu, kalau ada pihak swasta yang hendak melaksanakan projek ini, syarat kita ialah mesti pembiayaan secara swasta, tidak melibatkan perbelanjaan ataupun pinjaman daripada kerajaan.

“Kalau mereka sanggup mengambil risiko itu, membina sistem dan infrastrukturnya, kita boleh bincang mungkin dengan konsep konsesi, mereka boleh beroperasi untuk satu tempoh masa panjang,” katanya ditemui selepas program Townhall Rakyat, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan projek jaringan pengangkutan awam moden itu masih tergantung dan tiada sebarang keputusan dibuat sama ada untuk diterus atau dibatalkan.

Beliau menjelaskan, penamatan kontrak yang diputuskan ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri tidak menyebabkan HSR dibatalkan, sebaliknya ia hanya melibatkan penamatan perjanjian antara kedua-dua negara.

Namun, Ahli Parlimen Seremban itu menyerahkan kepada syarikat swasta yang berminat sekiranya mahu mewujudkan rundingan antara Malaysia dan Singapura bagi menghidupkan semula pembinaan kereta api laju antara dua ibu kota.

“Ia sudah pun ditamatkan ketika zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin, bukan Pakatan Harapan (PH). Pampasan sudah pun dibayar kepada kerajaan Singapura. Jadi, agreement itu sudah pun tamat. Tetapi tidak bermaksud projek tersebut tak boleh dirunding semula.

“Terpulang kepada model yang kita guna pakai, kalau ada pihak swasta hendak buat, kita kena bincang balik cara pelaksanaannya. Sudah tentu ada model-model yang kita perlu bincang,” ujarnya.

Terdahulu, kerajaan Malaysia dilaporkan membayar pampasan sebanyak RM320.27 juta kepada Kerajaan Singapura selepas kedua-dua negara bersetuju untuk menamatkan kontrak pembinaan HSR sepanjang 350 kilometer itu.

Persetujuan tersebut diumum menerusi kenyataan bersama antara Muhyiddin dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, pada 31 Disember 2020. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.