Tamat kerjasama Pas - Bersatu akhiri perpecahan politik Melayu

Tamat kerjasama Pas – Bersatu akhiri perpecahan politik Melayu

Akhiri perpecahan politik Melayu
AB. HALIM TAMURI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pas Selangor mendakwa keputusan menamatkan kerjasama politik antara Pas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukanlah sebagai pengakhiran kepada agenda politik Melayu.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri berkata, sebaliknya keputusan tersebut membuka lebih ruang kepada agenda penyatuan ummah dan kerjasama politik yang lebih menyeluruh.

“Sebagai parti yang berprinsip, Pas sentiasa meletakkan Islam, maslahah umat dan kepentingan negara mengatasi pertimbangan politik kepartian. Justeru, agenda penyatuan ummah kekal menjadi teras perjuangan PAS dalam usaha membina kekuatan umat, mengurangkan perpecahan politik dan mewujudkan kestabilan negara.

“Keputusan itu bukan pengakhiran kepada agenda tersebut, bahkan membuka ruang yang lebih luas untuk meneroka persefahaman dan kerjasama politik yang lebih menyeluruh demi menjayakan agenda penyatuan ummah serta membina landskap politik yang lebih stabil dan matang untuk masa depan negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar dilapor mendakwa keputusan Pas menamatkan kerjasama dengan Bersatu adalah untuk memperkasakan agenda penyatuan ummah dengan meneroka persefahaman politik dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Beliau berkata, keputusan dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat malam tadi menunjukkan parti itu mengamalkan sikap terbuka, matang dan berpandangan jauh dalam membina kekuatan ummah.

Dalam pada itu, Ab. Halim menambah, Pas Selangor menyokong dan menerima sepenuhnya keputusan yang ditetapkan oleh Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat berhubung hala tuju kerjasama politik Pas – Bersatu.

“Kami menghargai segala bentuk kerjasama yang pernah terjalin dan menyeru seluruh ahli serta penyokong agar terus memperkukuh saf perjuangan, berlapang dada serta istiqamah mendukung usaha penyatuan umat.

“PAS akan terus istiqamah dengan agenda penyatuan ummah kerana perpaduan adalah kunci kekuatan umat, kestabilan politik dan kesejahteraan negara,” ujarnya.

Malam tadi, akhbar ini melaporkan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat bersetuju menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu selepas meneliti kedudukan dan hala tuju hubungan tersebut berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, Pas akan meneroka suatu persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya demi penyatuan ummah termasuk menerima hasrat tokoh-tokoh akademik, profesional, pemimpin politik dan aktivis masyarakat untuk menyertai parti itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN