SHAH ALAM: Rakaman daripada kamera papan pemuka (dashcam) masih dianggap sebagai bukti kukuh dan sokongan yang diperlukan walaupun ia bukan penentu kepada keputusan pihak berkuasa ataupun mahkamah.
Pengamal undang-undang, M. Partiben berkata, bagaimanapun mahkamah tetap menilai keseluruhan bukti secara menyeluruh dan dashcam pula berfungsi sebagai sokongan yang boleh menguatkan lagi kes pendakwaan atau pembelaan.
“Lebih penting, rakaman tersebut boleh diterima sebagai bukti utama sekiranya memenuhi syarat ketulenan, relevan serta tidak diubah suai, selain mempunyai kualiti visual yang jelas.
“Dashcam dilihat sebagai antara bukti paling berwibawa dan berimpak tinggi dalam prosiding mahkamah, khususnya melibatkan kes jenayah serta kemalangan jalan raya, apabila ia mampu merakam kejadian secara langsung tanpa sebarang gangguan atau manipulasi.
“Rakaman itu bukan sekadar pelengkap siasatan, malah sering menjadi ‘mata tambahan’ kepada pihak berkuasa dalam membina semula kronologi kejadian secara lebih tepat dan jelas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, kemudahan peranti elektronik itu boleh membantu siasatan pihak berkuasa terhadap pelbagai insiden terutama langgar lari di bawah Seksyen 52(1) Akta Pengangkutan Jalan.
“Apabila rakaman berjaya merakam nombor pendaftaran, wajah pemandu serta masa kejadian, sekali gus mempercepatkan proses siasatan dan pengesanan suspek.
“Kes buli jalan raya dan ugutan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan turut banyak diselesaikan menerusi rakaman dashcam yang merakam tingkah laku, tindakan serta percakapan suspek secara terus dan spontan,” jelasnya.
Kata Partiben lagi, rakaman kamera papan pemuka sangat membantu terutama apabila terdapat ugutan secara langsung seperti kata-kata berunsur ancaman yang boleh dijadikan bukti tanpa bergantung sepenuhnya kepada saksi.
“Dashcam juga membantu dalam kes samun atau ragut apabila rakaman parkir atau mod keselamatan mampu merakam pergerakan suspek dan kenderaan terlibat.
“Dalam masa sama, ia turut berfungsi sebagai alibi kepada individu yang dituduh, apabila timestamp dan data GPS membuktikan lokasi sebenar seseorang pada waktu kejadian,” ujarnya. – UTUSAN










