SHAH ALAM: Keputusan Pas menamatkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah untuk memperkasakan agenda penyatuan ummah dengan meneroka persefahaman politik dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, keputusan dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat malam tadi menunjukkan parti itu mengamalkan sikap terbuka, matang dan berpandangan jauh dalam membina kekuatan ummah.
“Pemuda Pas Selangor meyakini Pas sentiasa meletakkan kepentingan Islam, kestabilan negara dan masa depan rakyat mengatasi kepentingan politik jangka pendek atau sentimen individu tertentu.
Ketetapan untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu menunjukkan kematangan dan ketegasan Pas dalam menjaga prinsip perjuangan serta memastikan agenda penyatuan ummah terus diperkasakan dalam suasana politik yang semakin mencabar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Malam tadi, akhbar ini melaporkan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat bersetuju menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu selepas meneliti kedudukan dan hala tuju hubungan tersebut berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, Pas akan meneroka suatu persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya demi penyatuan ummah termasuk menerima hasrat tokoh-tokoh akademik, profesional, pemimpin politik dan aktivis masyarakat untuk menyertai parti itu.
Justeru, beliau menyeru seluruh ahli dan penyokong supaya bertenang, berdisiplin serta memberikan kepercayaan penuh kepada kepemimpinan parti yang menjadi kunci kekuatan kepada orgranisasi.
“Keputusan itu merupakan hasil pertimbangan syura, penelitian mendalam serta mengambil kira aspek dasar, hukum, maslahah perjuangan dan keutamaan penyatuan ummah sebagaimana yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak Pas.
“Jangan sesekali membiarkan perbezaan pandangan membuka ruang perpecahan yang akhirnya hanya menguntungkan pihak lawan,” jelasnya. – UTUSAN










