Projek HSR Kuala Lumpur-Singapura tergantung – Anthony Loke - Utusan Malaysia

Projek HSR Kuala Lumpur-Singapura tergantung – Anthony Loke

MyHSR Corp melanjutkan penyerahan permintaan maklumat (RFI) bagi cadangan konsep projek HSR KL-SG sehingga pada 15 Januari 2024. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada mahu meneruskan semula atau tidak projek tren berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang telah dibatalkan kerajaan terdahulu masih ‘tergantung’.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tiada sebarang keputusan atau rancangan mahu meneruskan semula projek berkenaan.

“Projek HSR tergantung. Sebelum ini HSR telah dibatalkan. Tetapi sekarang ini belum ada apa-apa keputusan lagi,” katanya ketika ditemu di sini baru-baru ini.

Beliau mengulas perkemba­ngan terkini projek HSR Kuala Lumpur-Singapura yang telah dibatalkan kerajaan terdahulu.

Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan, Singapura bersedia mempertimbang sebarang cadangan bagi menghidupkan semula projek HSR antara Kuala Lumpur dan Singapura yang dibatalkan oleh Malaysia.

Menteri Kedua bagi Hal Eh­wal Luar Singapura, Dr. Moha­mad Maliki Osman memberitahu, pihaknya bersedia untuk melihat sebarang cadangan yang mungkin ada daripada Malaysia.

“Kami bersedia untuk melihatnya secara jelas, tidak melihat langsung pada yang sebelumnya, melihat apakah cadangan itu, apakah kemungkinan perkara yang Malaysia mahu pertimbangkan,” katanya sewaktu sesi temuramah bersama media Malaysia yang menyertai Program Lawatan Wartawan Malaysia Kali Ke-15 baru-baru ini.

Pada Disember tahun lalu, Siew Fook seperti yang dilaporkan digesa supaya menyiasat keputusan kerajaan terdahulu yang membatalkan HSR Kuala Lumpur-Singapura kerana segelintir pihak berpendapat banyak kajian menunjukkan projek itu akan memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi.

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini antara yang menyokong dan berkata, projek itu perlu diteruskan kerana akan membawa manfaat dari segi ekonomi kepada ne­geri seperti Johor, Melaka, dan Negeri Sembilan serta Lembah Klang.

Projek HSR dikatakan sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi inisiatif bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilaksana pada 2010.

Dua rakan kongsi untuk me­laksanakan projek itu ialah Malaysian Resources Corp. Bhd., Gamuda Bhd. dan Syarikat Pembinaan Yeoh Tiong Lay Sdn. Bhd.-TH Properties Sdn. Bhd. menandatangani kerjasama mengenainya sebelum ini.

Ia dijangka dapat mengurangkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada hanya 90 minit.

Bagaimanapun, Projek HSR dibatalkan pada 1 Januari 2021, dengan Malaysia perlu membayar pampasan RM320 juta kepada Singapura sebagai sebahagian daripada tanggungjawabnya menurut perjanjian dua hala.

Pada Januari 2021, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan ketua pembangkang ketika itu menyifatkan keputusan PN menghentikan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura sebagai ‘memalukan’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya